Senarai hitam The 1975, Good Vibes 2023 batal

KUALA LUMPUR 22 Julai – Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memutuskan menyenaraihitam The 1975 daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.

Pada masa yang sama kerajaan juga mengarahkan pembatalan serta merta penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang sepatutnya berlangsung hingga esok.

“KKD melalui JK-PUSPAL juga sudah membuat laporan polis terhadap artis terbabit dan pihak penganjur atas kecuaian serta kegagalan mereka mematuhi syarat-syarat yang sudah ditetapkan oleh PUSPAL.

“Ketika permohonan dibuat, pihak penganjur sudah memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan artis berkenaan,” kata JK-PUSPAL dalam kenyataan hari ini.

JK-PUSPAL juga kesal dengan perlakuan sangat biadab artis berkumpulan luar negara iaitu The 1975 semasa mengadakan persembahan sempena Good Vibes Festival di Sepang, semalam.

Dalam konsert itu, vokalisnya, Matty Healy dilihat memegang botol arak di pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.

Malah, Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di pentas.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil, berkata penganjur acara berkenaan juga digesa untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket, yang menempah untuk mengikuti konsert pada festival berkenaan.

“Saya sudah mengarahkan pembatalan serta merta baki festival berkenaan yang sepatutnya berlangsung hari ini hingga esok, 23 Julai.

“Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang sudah membeli tiket. Sehubungan itu, saya juga sudah menggesa penganjur mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Fahmi berkata, beliau sudah memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab dipamerkan oleh artis dari United Kingdom (UK), The 1975 di Sepang malam tadi.

“Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara. Bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan hari ini juga memaklumkan pihaknya akan memanggil penganjur konsert kumpulan The 1975 petang ini, susulan tindakan vokalisnya, Matty  menunjukkan perlakuan kurang sopan dalam konsert berkenaan.

Related posts

Leave a Comment