Selamat mengundi UMNO Permatang Pauh

SECARA berseloroh Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, beliau tidak akan balik kampung di Permatang Pauh jika semua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen itu dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

“Kalau kali ini tiga Dewan Undangan Negeri dalam Permatang Pauh menang kepada Perikatan Nasional, aku (Mohamad) tak mau balik kampung, malu nak balik,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya baru-baru ini.

(Untuk rekod, Kampung Mat Sabu di Guar Petai. Dulu berada dalam kawasan Permatang Pauh, sekarang Tasek Gelugor. Jiran Guar Petai termasuk kampung saya di Guar Perahu, jirannya Guar Jering).

Hakikatnya , kenyataan Mat Sabu itu satu peringatan kepada jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu sambutan kepada calonnya begitu hebat tetapi akhirnya Nurul Izzah Anwar kecundang di Permatang Pauh.

Permatang Pauh, satu nama besar yang menjadi tumpuan kerana di situ Anwar Ibrahim ‘dilahir dan dibesarkan’ sebagai anggota Parlimen yang kemudiannya diwarisi isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail diikuti anaknya Nurul Izzah.

Mat Sabu dan Mahfuz Omar ketika anggota Pas pernah mewakili parti itu mencabar Anwar di Permatang Pauh pada PRU 1986 dan 1990.

Selama 40 tahun keluarga Anwar menguasai Permatang Pauh tetapi akhirnya pada PRU15, dengan kempen agresif UMNO @ BN bertemakan Permatang Pauh Berubah, Nurul Izzah tewas dalam pertandingan empat penjuru.

Lebih pedih, Nurul Izzah ‘dihadiahkan kekalahan’ itu sempena ulang tahun hari kelahirannya pada 19 November 2022.

UMNO juga terasa pedihnya apabila tema yang dibawa Permatang Pauh Berubah benar-benar menjadi kenyataan tetapi perubahan itu bukan milik UMNO tetapi milik Pas, komponen PN. UMNO berputih mata lagi!

Kemenangan Pas itu mengingatkan bagaimana Anwar yang diturunkan buat pertama kali sebagai calon PRU di Permatang Pauh atas pilihan Dr. Mahathir Mohamad menang selepas mengalahkan wakil rakyat Pas sebelum itu Zabidi Ali dan calon DAP.

Dari situ Anwar mula bertapak (1982 – 1999 /  2008 – 2015). Tidak hairanlah Anwar menyifatkan sumbangan rakyat Permatang Pauh begitu besar dan menjadi saksi jatuh bangun perjuangan beliau selama ini.

“Kawasan mana jasa terbesar rakyat? Saya tidak pernah lupa walaupun saya pindah ke (Parlimen) Port Dickson, Tambun, tetapi asas kekuatan tetap Permatang Pauh. Tidak boleh lupa kerana terlalu lama jatuh bangun di sini,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang bersama rakyat di Lembah Makanan, Bandar Perda, 23 Januari lalu.

Anwar yakin Permatang Pauh tetap akan menjadi kubu kuat gerakan reformasi walaupun pada PRU15 kerusi itu berpindah tangan apabila Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan menang dengan majoriti 5,272.

Justeru PH perlu menebus kekalahan pada PRU15 lalu. Dengan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada sekarang, PH sudah pasti tidak akan melepaskan peluang mempertahankan kerusi berkenaan begitu sahaja.

Di atas kertas, tanpa calon BN @ UMNO, pertandingan tentunya satu lawan satu berbanding pada PRU15 melibatkan empat penjuru iaitu PH (PKR), BN (UMNO) PN (Pas) dan Pejuang. Kali ini PH mendapat kekuatan tambahan dengan sokongan UMNO.

Pada PRU14 sebelum ini, PKR menang dua kerusi iaitu DUN Penanti dan Seberang Jaya manakala Amanah pula DUN Permatang Pasir. Bagaimanapun ADUN PKR Afif Bahardin (Seberang Jaya) dipecat dan menyertai Bersatu.

Setakat malam tadi, UMNO tidak disenaraikan bagi mana-mana kerusi DUN di Parlimen Permatang Pauh yang pernah ditandingi sebelum ini dan baru-baru ini Ketua UMNO bahagian, Mohd Zaidi Mohd Said juga mengisytiharkan sokongan kepada bekas ADUN Penanti, Dr Norlela Ariffin yang dijangka dicalonkan semula.

Amanah pula akan mempertahankan Permatang Pasir sementara PKR juga mahu mengekalkan kehadirannya di Seberang Jaya malahan nama Nurul Izzah disebut-sebut akan mewakili PKR di kawasan itu.

Bagaimanapun, Nurul Izzah sebelum ini menafikan beliau antara calon yang dinamakan untuk bertanding kerusi DUN di Pulau Pinang khususnya Seberang Jaya pada PRN kali ini.

“Bertanding atau tidak, saya sahkan akan berkempen dalam PRN akan datang yang saya minta kita semua kuatkan tekad,” katanya ketika berucap pada Jelajah Madani DUN Seberang Jaya baru-baru ini.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, ketika ini PH bergabung dengan BN yang sudah tentu ada juga calon daripada mereka yang ingin bertanding.

“Selain calon dari PH, kita turut ada UMNO dari BN. Dalam hal ini (bertanding), tak boleh ada banyak nama,” katanya.

Adakah UMNO Permatang Pauh masih berpeluang mendapatkan kerusi Seberang Jaya? Setakat ini, peluang UMNO di Permatang Pauh tertutup kecuali PKR sedia berkorban.

Daripada enam kerusi yang ditandingi UMNO 12 Ogos ini, dua adalah DUN Permatang Berangan dan Sungai Dua di Parlimen Tasek Gelugor yang dimenangi pada PRU lalu;  DUN Penaga dan DUN Bertam (Kepala Batas); DUN Sungai Acheh (Nibong Tebal) dan DUN Teluk Bahang (Balik Pulau).

Bagi kawasan majoriti Melayu, UMNO Permatang Pauh nampaknya semakin jauh untuk mengembalikan kegemilangan masa lalu dengan menguasai Parlimen atau sekurang-kurangnya dua kerusi DUN. Kali ini, peranan UMNO membantu PH.

Adakah penyokong-penyokong UMNO Permatang Pauh sudah bersedia membantu memenangkan calon-calon PKR dan Amanah? Atau mereka sudah ada pilihan lain?

Suka atau tidak UMNO Permatang Pauh perlu bersedia untuk tidak mendapat kerusi di Permatang Pauh. Ini juga satu perubahan. UMNO bukan lagi memimpin. Peranan UMNO sekarang untuk memastikan tiga kerusi DUN itu tidak berubah seperti berlaku kepada Parlimen Permatang Pauh. Jika berubah, malu Mat Sabu nak balik kampung!

Kepada anggota UMNO dan penyokongnya khususnya di Permatang Pauh diucapkan selamat mengundi.

Related posts

Leave a Comment