Gelombang haba dijangka meningkat

PERTUBUHAN Meteorologi Sedunia (WMO) memberi amaran, gelombang haba yang melanda hemisfera utara dijangka terus meningkat sekali gus membawa kepada peningkatan risiko serangan jantung dan kematian.

Menurut WMO,  gelombang haba itu berada dalam fasa awalnya, dan ia menjangkakan suhu di Amerika Utara, Asia, Afrika Utara dan Mediterranean melebihi 40 Celsius untuk beberapa minggu.

Tambah WMO rekod baharu gelombang haba mungkin berlaku dalam beberapa hari akan datang.

Paras tertinggi Eropah sebelum ini ialah 48.8 darjah Celsius yang dicapai di Sicily pada Ogos 2021 dan rekod global ialah 56.7 Celsius dari Death Valley di California, Amerika Syarikat (AS) pada Julai 1913.

Persekutuan Palang Merah Antarabangsa pula berkata bayi, orang tua dan orang yang mempunyai keadaan kesihatan kronik lebih terdedah kepada risiko.

Lebih 60,000 orang Eropah telah mati dalam gelombang panas tahun lalu, menurut pakar, walaupun mempunyai beberapa sistem amaran awal terbaik dunia.

Sementara itu, di WASHINGTON, panas terik yang memecahkan rekod melanda sebahagian kawasan di AS minggu ini, kurang sebulan selepas memasuki musim panas.

Phoenix, Arizona, pada Selasa memecahkan rekod suhu panas yang dicatatkan hampir setengah abad yang lalu, dengan hari ke-19 berturut-turut melebihi 43 darjah Celsius (C).

Bagaimanapun cuaca pada sebelah malam memberikan sedikit kelegaan, dengan suhu menurun kepada 34°C untuk hari kesembilan berturut-turut.

Walaupun di Phoenix suhu sentiasa panas pada musim panas, gelombang haba kali ini sangat kuat dan berlarutan.

Sebahagian besar kawasan di selatan AS selatan berada di bawah kubah haba, dengan suhu dari California hingga ke Florida telah memecahkan rekod.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran, gelombang haba berbahaya dan berpanjangan untuk sebahagian besar kawasan di selatan, menyaksikan kira-kira 80 juta penduduk mungkin mengalami suhu atau indeks haba melebihi 105°F (40°C) pada hujung minggu ini.

Gelombang haba boleh membawa maut, terutamanya bagi gelandangan, mereka yang bekerja di luar rumah dan tidak mempunyai pendingin hawa mencukupi manakala mereka yang lebih berusia dan mempunyai masalah kesihatan perlu memastikan kekal terhidrat.

Related posts

Leave a Comment