KUALA LUMPUR 19 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara serta halus dalam berpesan.
“Harmoni dalam persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan,” titah baginda
Justeru, baginda mengingatkan rakyat supaya menjauhi perasaan hasad dengki, fitnah-memfitnah, pemikiran prasangka sempit dan negatif kerana, sifat sedemikian tidak mendatangkan sebarang faedah kepada bangsa dan negara.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445H/2023M, yang bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Kira-kira 6,000 tetamu hadir pada majlis itu yang mewakili 110 kontinjen daripada agensi kerajaan dan swasta, dengan selebihnya orang awam.
Baginda bertitah, semangat hijrah yang perlu dijelmakan rakyat ketika ini ialah menjaga kesatuan dan perpaduan.
Titah baginda, semangat itu perlu dijelma tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam demi untuk membangunkan sebuah negara pertiwi.
Menurut baginda, penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku 1,400 tahun lalu, adalah semangat hijrah yang wajar dijadikan pedoman utama dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.
“Islah ke arah kebaikan mesti bermula dalam hati sanubari sendiri dengan penuh komited dan jujur,” titah baginda.
Seri Paduka juga menghargai usaha kerajaan dalam menggerakkan agenda Malaysia Madani bagi membentuk masyarakat yang menghayati nilai-nilai ihsan, mendokong prinsip keadilan dan mengamalkan semangat toleransi
Beta turut menghargai pelaksanaan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama menuju Malaysia Madani, sebagai langkah proaktif untuk menjayakan agenda pembangunan dan pembaharuan ummah.
“Selain itu, semangat dan roh hijrah dalam memupuk sifat amanah dan berintegriti hendaklah sentiasa tumbuh segar di dalam jiwa setiap rakyat Malaysia,” titah baginda.
Bersempena dengan kedatangan tahun baru hijrah ini, baginda menyeru seluruh rakyat bersama mensyukuri akan nikmat keamanan dan kemakmuran negara yang sudah dikecapi hingga kini.
“Suburkan rasa kasih dan kecantikan kita kepada tanahair ini, sebagaimana cintanya Rasulullah SAW kepada tanah kelahiran baginda,” titah Seri Paduka.
Baginda seterusnya menyingkap kembali penghijrahan Rasullulah SAW dari Kota Makkah ke Madinah yang menjadi titik permulaan pembinaan sebuah negara Islam.
Titah baginda peristiwa hijrah juga sudah membuka helaian lembaran baru dalam usaha untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu serta menjulang tinggi nilai-nilai keinsanan.
“Negara Islam pertama sudah dibentuk berasaskan kepada semangat perpaduan dan hidup dengan penuh kerukunan di bawah Piagam Madinah yang bersifat inklusif, menaunggi masyarakat Islam dan bukan Islam.
“Penghijrahan Rasullulah SAW adalah pencetus kepada penyebaran agama Islam ke seluruh dunia,” titah baginda.
