BEIJING – Perubahan demografi di China kini semakin ketara apabila keluarga di negara itu kini buat pertama kalinya menanggung lebih ramai warga emas berbanding kanak-kanak.
Data rasmi Biro Statistik Kebangsaan China menunjukkan nisbah warga emas yang bergantung kepada penduduk usia bekerja meningkat kepada 23 peratus pada tahun lalu, mengatasi nisbah kanak-kanak yang berada pada 22 peratus.
Menurut data terkini, China kini mempunyai lebih 223 juta penduduk berusia 65 tahun ke atas, mewakili hampir 16 peratus daripada keseluruhan populasi negara itu.
Sebagai perbandingan, jumlah kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah di negara itu dianggarkan sekitar 213 juta orang.
Perkembangan itu boleh memberi kesan kepada institusi keluarga, sistem pencen dan perbelanjaan kesihatan.
Penuaan populasi China dipengaruhi beberapa faktor termasuk urbanisasi pesat dan kesan dasar seorang anak yang dilaksanakan dari 1980 hingga penghujung 2015.
Dasar tersebut diperkenalkan bagi mengawal pertumbuhan populasi yang pesat dan menurut kerajaan China, ia dipercayai menghalang kira-kira 400 juta kelahiran sepanjang tempoh pelaksanaannya, walaupun angka itu dipertikaikan oleh sesetengah pihak.
Dasar itu memainkan peranan besar dalam mengecilkan saiz populasi muda sekali gus menyebabkan jumlah penduduk usia bekerja semakin berkurangan untuk menyokong bilangan warga emas yang terus meningkat.
Nnn
