Ramadan madrasah terbaik – Anwar

PUTRAJAYA 18 Mac – Ramadan menjadi madrasah terbaik untuk meningkatkan amalan selain menggilap semula kekuatan, keimanan, akhlak serta disiplin diri, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Justeru beliau mengajak umat Islam negara ini menghayati Ramadan dengan menyantuni masyarakat yang kurang bernasib baik serta menambah sedekah serta amal jariah.

“Kalau ada semangat Ramadan ini, benar-benar hidup, masalah dalam negara ini lebih terkawal, begitu juga kalau kita sudah uruskan keluarga di Malaysia ini, kita bolehlah sampaikan kepada rakan kita di luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini Dewan Seri Endon, PUSPANITAPURI di sini, hari ini.

Anwar turut menempelak segelintir pihak yang mendakwa beliau meringankan soal ibadah kerana mengaitkan Ramadan daripada segi kesedaran, masalah kemiskinan dan disiplin.

Malah, beliau turut menafikan dakwaan kononnya tidak mempedulikan nilai kerohanian apabila mengaitkan Islam dari segi tata kelola.

“Apa guna masuk madrasah (Ramadan) tetapi sama juga kedudukan macam tahun lalu. Masuk madrasah maksud disekolahkan semula, masuk sekolah ada ujian, tetapi ujian kita tidak meningkat (dari segi) iman, akhlak, kekuatan semangat, disiplin tidak meningkat sebab itu ujian Ramadan harus menghasilkan peningkatan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan supaya amalan pembaziran dielakkan sepanjang Ramadan.

“Semalam saya menghadap santai dengan Yang di-Pertuan Agong, malam ini ada majlis buka puasa. Menarik singgungan baginda dalam perbincangan santai, baginda bertitah, buka puasa sepatutnya minum air sikit, kurma sebiji dan solat Maghrib dulu.

“Sebab pembaziran, (majlis) santapan di Istana (Negara) itu kadang-kadang lumayan, jadi hal ini mengingatkan kita bahawa cermati supaya wang itu dimanfaatkan kepada orang yang memerlukan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment