KUALA LUMPUR 19 Julai – Bekas Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam (IKIM), Dr Abdul Monir Yaacob diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Selain itu, Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakr Amad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Hakimah Mohd Yusoff pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M, di sini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan anugerah, termasuk wang tunai dan sijil penghargaan kepada kedua-dua tokoh berkenaan.
Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama ialah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Pemilihan kedua-dua tokoh itu berdasarkan sumbangan besar mereka dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat dari dalam dan luar negara.
Kedua-dua tokoh itu juga memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi.
