JAKARTA 17 Julai – Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) melantik Budi Arie Setiadi sebagai Menteri Komunikasi dan Maklumat Indonesia yang baharu dalam rombakan Kabinet menjelang Pilihan Raya Umum 2024 negara itu.
Budi, bekas Timbalan Menteri Desa, Pembangunan Wilayah Kurang Beruntung dan Kementerian Transmigrasi, menggantikan bekas Menteri Komunikasi dan Maklumat, Johnny G Plate, yang sedang dibicarakan kerana kes rasuah $1.14 juta (RM5.19 juta).
Johnny ditahan Mei lalu kerana dipercayai menerima bayaran daripada syarikat yang terbabit dalam projek pembinaan menara telekomunikasi bagi kemudahan internet membabitkan ribuan buah kampung di seluruh negara.
Beliau yang menafikan sebarang salah laku, bagaimanapun berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah terbabit rasuah dalam projek yang menyaksikan kerugian kepada negara dianggarkan bernilai 8 trilion rupiah (RM2,438 juta).
Sementara itu Jokowi mengumumkan rombakan kecil Kabinet pimpinannya, membabitkan pertukaran enam jawatan.
Selain jawatan itu, Jokowi turut mengumumkan pelantikan timbalan menteri baharu bagi portfolio hal ehwal luar negeri, hal ehwal desa, hal ehwal agama, komunikasi dan perusahaan syarikat berkaitan kerajaan.
Beliau turut melantik dua ahli baharu dalam lembaga penasihat khasnya.
Ketika ditemui pemberita, Jokowi berkata, Budi akan diberi tanggungjawab dalam memfokuskan kepada aspek kecerdasan buatan dan perlindungan data.
“Kes rasuah akan diselesaikan dengan keutamaan turut diberikan terhadap penyelesaian projek menara telekomunikasi,” katanya selepas selesai majlis angkat sumpah.
