KJ bimbang jualan vape tanpa kawalan

KUALA LUMPUR 17 Julai –  Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bimbang  dengan penjualan berleluasa vape tanpa kawalan di negara ini sehingga agensi media asing melaporkan mudahnya produk itu dibeli oleh kanak-kanak bawah 18 tahun.

Malaysia kata Khairy kini seolah-olah memasuki era Wild West selepas bahan nikotin itu tidak lagi dikawal oleh undang-undang.

Serentak itu Khairy menerusi Twitter memohon maaf kerana keadaan jadi sampai begini sehingga rakyat erpaksa berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan itu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mengulas laporan sebuah media asing, Al Jazera dalam program siasatan 101 East yang memaparkan betapa mudah untuk kanak-kanan bawah umur membeli bahan nikotin di negara ini.

“Ya, ada isu penguatkuasaan sebelum ini tetapi kami kerap bertindak terhadap penjualan vape terutama kepada golongan bawah umur dan produk vape tidak dapat diiklankan.

“Kini ia adalah Wild West di Malaysia. Tiada penguatkuasaan kerana tiada undang-undang terhadap vape. Saya minta maaf ia menjadi sehingga ke tahap ini,” katanya.

Melalui laporan penyiasatan 101 East, media antarabangsa itu mengunjungi enam kedai vape di ibu negara.

Laporan itu menyebut tidak ada satu kedai pun yang meminta kad pengenalan bagi pengesahan umur walaupun terdapat notis yang memaparkan bahawa bahan berkenaan hanya boleh dibeli oleh mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Pada 30 Mac lalu Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952 sebelum melaksanakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, bagaimanapun memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan tetap diteruskan.

Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan pada Jun lalu tetapi kemudiannya dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.

Dr Zaliha, ketika mengulas tindakan itu berkata, langkah tersebut mengambil kira maklum balas yang diterima mengenai RUU berkenaan khususnya melalui sesi libat urus yang diadakan pada 6 Mac lalu.

Beliau memaklumkan,  ahli JKPK Kesihatan, selain ahli parlimen, badan profesional serta badan bukan kerajaan (NGO) mahukan beberapa perkara di bawah RUU terbabit dinilai dan diperincikan lebih lanjut.

RUU berkenaan dicadangkan bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok serta produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Related posts

Leave a Comment