KUALA LUMPUR 9 Julai – Walaupun berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, Gerakan masih meneruskan pemilihan parti itu yang menyaksikan Presiden Gerakan, Dominic Lau akan dicabar tiga calon lain.
Dominic Lau yang akan mempertahankan kedudukan sebagai Presiden parti pada 15 Julai ini akan dicabar Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Lau Hoi Keong; Pengerusi Gerakan Melaka, Michael Gan dan bekas Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng.
Pegawai Jawatankuasa Penyeliaan Pemilihan Gerakan, Soo Kay Ping mengesahkan perebutan itu dan turut memaklumkan dua lagi jawatan tertinggi parti iaitu Timbalan Presiden dan Naib Presiden menyaksikan persaingan empat penjuru.
Penyandang Timbalan Presiden, Oh Tong Keon, akan dicabar Ketua Biro Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan Komuniti Gerakan, Dr Kiew Hen Chong; Timbalan Speaker, Prabagaran Vythilingam dan Setiausaha Agung, Mak Kah Keong.
Bagi tiga slot Jawatan Naib Presiden pula, empat calon bertanding termasuk penyandang, Ko Shiaw Lie, selain Pengerusi Gerakan Sabah, Datuk Alexander Lo Su Hyen, Balit Singh Lingiri Singh dan Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, Lee Ban Fatt.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman calon bagi pemilihan Gerakan bagi penggal 2023-2026 di Menara PGRM di sini, semalam.
Selain itu, Kay Ping memaklumkan 40 pencalonan turut diterima bagi merebut jawatan 18 Ahli Jawatankuasa Pusat.
Bagi sayap Wanita dan Pemuda, semua jawatan terbabit dimenangi tanpa bertanding.
“PKetua Wanita kini disandang Chung Mon Sie; Timbalan Ketua Wanita, Heng See Lin serta tiga Naib Wanita masing-masing Yong Fui Ling dan Cheong Lai Chee manakala Ketua Pemuda Wong Chia Zhen; Timbalan, Lee Boon Shian dan tiga Naib Ketua, Goh Tee Loong, Tan Kom Chong dan Teo Jin Wei.
