Pemuda PN lapor polis, Pemuda UMNO gesa siasat

PUTRAJAYA 9 Julai – Seluruh pimpinan Pemuda Perikatan Nasional (PN) dikerah membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa mengeluarkan kenyataan menyentuh isu kaum, agama dan Raja (3R).

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ia berikutan kenyataan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dianggap kemuncak kepada provokasi kaum yang berisiko menjejaskan kedamaian dan perpaduan rakyat Malaysia.

“Pemuda PN mengecam keras kenyataan terkutuk itu dan menyifatkan ia sebagai satu pembohongan besar demi menutup kegagalan mentadbir negara. Menteri yang sebelum ini sibuk memberi amaran akan bertindak jika isu ini dibangkitkan, nah sekarang apa tindakan?,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas turut mempersoalkan pemimpin kerajaan yang didakwanya berdiam diri apabila kenyataan sedemikan dikeluarkan pimpinan yang berada di pihak mereka.

Sebelum ini, sebuah portal berita memetik laporan akhbar berbahasa Mandarin, melaporkan Guan Eng didakwa memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dipetik mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Bagaimanapun, Guan Eng menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian, sebaliknya menegaskan ucapannya pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang itu diputar belit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau Cina.

“Ini tidak benar. Saya merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah. Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja memutarbelitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah saya membakar sentimen perkauman agama dan kaum,” kata Guan Eng.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh pula menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung kenyataan Guan Eng.

Katanya, langkah itu untuk memberi amaran keras supaya tidak ada mana-mana ahli politik tanpa mengira sama ada parti dalam kerajaan mahu pun pembangkang, memainkan isu sedemikian.

“Bila kita minta jangan mainkan isu 3R, ia bukan hanya kepada pembangkang, tetapi juga kepada pihak kerajaan. Maka tuduhan seperti ini (kenyataan Guan Eng) sangat tidak diperlukan oleh rakyat Malaysia.

“Saya mohon kenyataan ini disiasat oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, berkata rakyat Malaysia mahukan politik yang progresif dan matang, selain berbahas dengan idea, bukan dengan sentimen yang memecahkanbelahkan masyarakat.

“Islam juga tidak pernah mengajar untuk umatnya menindas agama lain dan itu adalah fakta. Saya mohon kenyataan ini disiasat pihak polis supaya kita memberi amaran yang keras, jangan sesekali mempermainkan isu 3R, tidak kira dari parti mana sekali pun,” katanya.

Related posts

Leave a Comment