KUALA TERENGGANU 8 Julai- Pas berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, hasrat itu berikutan Pas tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini.
Beliau berkata, keputusan tidak membuat rayuan dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai disebabkan ketiadaan ahli Parlimen.
“Sebagai parti dan kerajaan yang memerintah, kita tidak mahu rakyat terabai disebabkan ketiadaan ahli Parlimen.
“Walaupun mengikut undang-undang, kita mempunyai hak untuk memfailkan rayuan, tetapi kita perlu menunggu lebih daripada lima bulan untuk Mahkamah Persekutuan membuat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Pas Pusat, di sini, hari ini.
Mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi itu dipengerusikan Presiden Pas Abdul Hadi Awang.
Katanya, Pas sudah mendapat pengesahan Ahmad Amzad boleh bertanding semula kerana mahkamah rayuan hanya sekadar memutuskan pembatalan keputusan Parlimen Kuala Terengganu.
Pada 27 Jun lalu, mahkamah pilihan raya negeri membatalkan kemenangan calon Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad.
Hakim Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Mengikut perlembagaan, sekiranya rayuan tidak dilakukan, ini bermakna keputusan yang dibuat dalam petisyen pilihan raya baru-baru ini dianggap mengikat, iaitu kemenangan telah terbatal dan berlaku kekosongan untuk kerusi itu.
Berikutan keputusan itu, SPR akan menunggu Perakuan Hakim Pilihan Raya untuk mewartakan kekosongan kerusi dan mengadakan pilihan raya.
Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi UMNO Terengganu, Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu, iaitu beberapa hari sebelum pengundian PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.
