Lesen Emraz Travel & Tours Sdn Bhd. digantung

PUTRAJAYA 9 Julai – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, mengumumkan penggantungan sementara lesen Syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd. selama enam bulan berkuat kuasa Isnin ini hingga 9 Januari 2024.

Keputusan itu selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

Menterinya, Tiong King Sing, berkata, dalam tempoh penggantungan lesen ini, syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu seperti mengiklankan pakej umrah dan mengambil jemaah baharu untuk umrah.

“Dalam tempoh penggantungan lesen ini juga, syarikat tersebut dikehendaki memulangkan semula bayaran dan dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan dengan syarikat serta membuat penjadualan semula penerbangan umrah yang tertangguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya sekiranya didapati syarikat melanggar syarat ini, tindakan pembatalan lesen boleh diambil dan tiada pembaharuan lesen akan dibenarkan setelah habis tempoh lesen.

Terdahulu, pada 2 April lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours sebagai langkah awal untuk melindungi kebajikan bakal jemaah haji.

Related posts

Leave a Comment