Wan Zahidi mufti Perak mulai Ogos

IPOH 17 Jun – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, berkenan melantik Wan Zahidi Wan Teh, sebagai Mufti Perak, yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Ogos depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ahmad Suaidi Abdul Rahim, berkata Wan Zahidi kini Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Beliau berkata, Wan Zahidi yang berasal dari Gerik, merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Menurut satu kenyataan hari ini, Wan Zahid memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan bidang akademik khususnya dalam pentadbiran Islam.

Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Mufti Wilayah Persekutuan dan Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia.

Pada 30 Mei 2021, Dr Harussani Zakaria, 82, yang dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semasa mendapatkan rawatan kerana jangkitan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment