Formula UMNO campur PH tak sesuai

KOTA BHARU 8 Julai – UMNO tidak boleh lagi menggunakan formula ‘UMNO campur Pakatan Harapan (PH), maka jumlahnya menjadikan gabungan parti kerajaan itu menang, kata Ahli Parlimen Arau,  Dr Shahidan Kassim.

Katanya, walaupun pelbagai formula dibuat, kebarangkalian UMNO untuk kalah adalah tinggi kerana pengikut parti itu sendiri sudah beralih arah.

“Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah lubuk PN, UMNO nak bertanding buat apa? Bertanding pun kalah, buat malu saja, nanti hilang benih.

“Walaupun dia buat formula, UMNO campur PH (Pakatan Harapan), maka jumlahnya dia menang tapi dia lupa orang UMNO bagi (undi) masa tu, masa dia kata ‘No Anwar No DAP tapi sekarang dia duduk dengan DAP dan orang UMNO tak setuju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini selepas hadir dalam program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa di Dataran Kijang, Pasar Kedai Buloh di sini malam tadi.

Shahidan juga menyifatkan keputusan MCA dan MIC tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai doa untuk UMNO berjuang solo, sudah termakbul.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata walaupun MCA dan MIC tidak banyak kerusi, ia adalah komponen yang hebat.

“Sekarang UMNO bertanding solo. Sebab dia (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid) berdoa untuk solo, Allah makbulkan.

“Orang MIC dan MCA tak akan sokong UMNO. Jadi saya menyeru kepada mereka untuk sokong PN (Perikatan Nasional). Kita akan menegakkan keadilan tanpa was-was,” katanya yang menyifatkan MCA dan MIC adalah komponen yang hebat walaupun tidak banyak kerusi.

Mengenai bantuan yang akan diberikan kepada enam negeri yang bakal mengadakan PRN pada Ogos ini, Shahidan berkata, pihaknya sudah menyediakan jentera sendiri untuk membantu dalam gerak kerja.

Menurutnya lagi, sekurang-kurangnya 1,000 sukarelawan akan hadir di mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang difikirkan perlu menjelang serta pada hari pengundian.

“Saya guna jentera sendiri iaitu sekurang-kurangnya 1,000 sukarelawan dan penyokong PN yang selama ini kita sudah terbabit dengan hampir 60 Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya.

Related posts

Leave a Comment