MCA, MIC tolak tawaran PN

SEPANG 7 Julai – MCA dan MIC yang tidak akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) menolak tawaran Muhammad Sanusi Md Noor untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Reaksi itu menyusul kurang 24 jam kenyataan Sanusi yang antara lain turut mencadangkan supaya MCA dan MIC meninggalkan BN.

Presiden MCA, Dr Wee Kas Siong, melalui akuan Facebook beliau sekadar memberi komen ringkas “No” (“Tidak”) sambil memuat naik tangkap layar berita disiarkan sebuah portal mengenai pelawaan Pengarah Pilihan Raya PN itu.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Manakala Presiden MIC, Dr SA Vigneswaran, menegaskan parti itu masa ini tidak dapat mempertimbangkan tawaran untuk bekerjasama dengan PN dalam PRN nanti.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada Sanusi atas tawaran berkenaan dan mengakui MIC memiliki hubungan baik dengan Pas dan Bersatu kerana pernah bekerjasama membentuk kerajaan sebelum ini.

Katanya, MIC masih kekal mendukung titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“MIC juga tidak dapat mempertimbang pelawaan Sanusi ketika ini kerana parti sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN kali ini,” katanya.

Menteri Besar Kedah melalui Sesi Khas Bersama Sanusi yang disiarkan dalam talian malam tadi, menegaskan PN tidak keberatan memberikan kerusi kepada MCA dan MIC untuk bertanding dalam PRN nanti sekiranya dua parti itu meninggalkan BN.

Sanusi juga mencadangkan MCA serta MIC menyertai PN yang mampu menawarkan tempat untuk calon kedua-dua parti itu bertanding di kerusi campuran pada PRN tidak lama lagi.

Vigneswaran menegaskan, tidak timbul isu MIC akan meninggalkan BN kerana perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan, meskipun membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya di enam negeri bulan depan.

Ditanya mengenai pendirian MIC terhadap Pas yang didakwa parti ekstremis, beliau bagaimanapun menolaknya kerana tidak pernah melihat sebarang unsur ekstremis ketika MIC bekerjasama dengan Pas membentuk kerajaan sebelum ini.

“Ketika MIC membantah kandungan syarahan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri tampil mengingatkan Zakir supaya menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Beliau tidak setuju dengan dakwaan Pas ekstremis kerana selama bekerja dengan parti itu, MIC tidak nampak unsur ekstremis walaupun mereka memang sensitif dalam isu agama, sebagaimana beliau tidak setuju DAP dituduh parti komunis.

Related posts

Leave a Comment