Henti umum projek selepas bubar DUN

KUALA LUMPUR 27 Jun –  Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan negeri yang Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan supaya berhenti membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataannya, mengingatkan kerajaan negeri Kelantan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu, kini hanya berperanan sebagai kerajaan sementara selepas pembubaran DUN.

“Disebabkan fungsinya untuk memastikan operasi asas berjalan sehingga pembentukan kerajaan baharu, kerajaan sementara ini perlu berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu.

“Sebarang keputusan atau pengumuman baharu secara demokratiknya adalah salah serta meragukan dari sudut undang-undang kerana mereka tidak mempunyai kuasa selain penjaga sementara,” katanya hari ini.

Menurut Jawatankuasa Pemandu BERSIH p, pejabat setiausaha kerajaan negeri perlu mengeluarkan satu garis panduan kerajaan sementara sebagaimana yang dilakukan di peringkat Persekutuan.

Garis panduan tersebut antara lain menyatakan kerajaan ‘caretaker’ (sementara) tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat, atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam.

Selain itu, apa-apa projek kerajaan negeri yang bakal atau telah terbubar ini hanya boleh dijanjikan di dalam manifesto mereka dan tidak boleh diumumkan sebagai satu ketetapan.

BERSIH turut menggesa rakyat Malaysia untuk memantau dan mendesak semua kerajaan negeri yang terbabit dengan pembubaran DUN menghormati asas demokrasi.

“Sekiranya salah laku dibenarkan kerana bias politik, maka semua parti akan berlumba-lumba ke arah keburukan dengan membentur undang-undang untuk memenangi pilihan raya dengan mengorbankan kepentingan awam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment