PUTRAJAYA 27 Jun – Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang menolak untuk mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang merupakan Pihak yang Menuntut dalam kes Sulu ini.
Keputusan ini sekaligus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata keputusan Mahkamah Rayuan The Hague ini merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, kerajaan adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan oleh Pihak yang Menuntut yang berjumlah hampir USD15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa dan sekaligus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah.
Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia Pihak yang Menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain.
“Sehingga kini, Kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara. Kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warga negara Malaysia Madani,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini.
“Kerajaan Malaysia yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu di THE HAGUE mahkamah menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara pada Februari tahun lalu.
Penghakiman itu memaklumkan, ‘mahkamah menolak permintaan warga Filipina’ untuk menuntut melaksanakan anugerah timbang tara itu.
Pada tahun lalu, individu yang mendakwa waris Filipina kepada Sultan Sulu terakhir dianugerahkan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) oleh mahkamah timbang tara Paris dalam pertikaian dengan Malaysia sejak sekian lama berhubung perjanjian tanah pada zaman penjajah.
Mereka berusaha merampas aset Kerajaan Malaysia di Perancis, Luxembourg dan Belanda, dalam usaha untuk menguatkuasakan anugerah itu.
Malaysia yang tidak mengambil bahagian dalam timbang tara itu, bertegas bahawa proses terbabit menyalahi undang-undang dan berikrar untuk melawan tindakan rampasan berkenaan.
Malaysia memperoleh penangguhan anugerah itu di Perancis, namun keputusan itu tetap boleh dikuatkuasakan di luar negara di bawah perjanjian timbang tara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Waris Kumpulan Sulu itu pada September tahun lalu meminta kebenaran daripada mahkamah Belanda untuk menguatkuasakan anugerah itu di Belanda.
Bagaimanapun, hakim Belanda memihak kepada Malaysia dan memutuskan perjanjian asal itu tidak mempunyai klausa yang mengikat pihak-pihak kepada timbang tara dan penangguhan di Perancis bagi anugerah itu bermakna tuntutan itu tidak boleh dikuatkuasakan di Belanda.
