KUALA LUMPUR 25 Jun – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berharap dapat bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), seterusnya diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Presidennya, Dr Ibrahim Ali berkata tanpa mengharapkan jumlah kerusi yang banyak, pihaknya sedia bertanding di mana-mana jua sekiranya diberi peluang, malah tidak ada masalah untuk bertanding dengan menggunakan logo PN.
“Saya ingin nyatakan di sini bahawa Putra tidak akan jadi tukang sorak. Kita boleh bersama jika kita diiktiraf. Kalau tak banyak sekalipun (perlu) ada bukti, tanda bahawa kita dapat bersama.
“Kalau diberi kesempatan bekerjasama dengan PN, kalau boleh dua (atau) tiga kerusi juga tiada masalah, beri di mana sekalipun tidak kisah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Putra kali Keempat di sini, hari ini.
Ibrahim berkata beliau sudah menyampaikan hasrat itu kepada Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dalam petemuan mereka sebelum ini.
Pada Pilihan Raya Umum lalu, Putra juga menurunkan beberapa orang calon termasuk Ibrahim, Timbalannya Khalid Yunus dan Ketua Penerangan Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir tetapi semua calonnya tewas.
