Tajuddin tidak terlibat 10 ‘warlord’ UMNO

IPOH 18 Jun – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,  Tajuddin Abdul Rahman menafikan beliau adalah antara 10 orang ‘warlord’ atau pemimpin UMNO yang digembar-gemburkan akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Beliau tidak tahu menahu mengenai laporan kemasukan pemimpin UMNO itu yang dikatakan akan berlaku sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“Mengenainya (10 ‘warlord’), ia tiada kena-mengena dengan saya. Saya tak tahu-menahu, Lillahi Taala, saya bukan salah seorang dari 10 itu,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Pada 12 Jun lalu, media melaporkan PN akan membuat pengumuman mengenai kemasukan sekurang-kurangnya 10 ‘warlord’ didakwa daripada UMNO ke gabungan itu, tidak lama lagi.

Mengenai rayuan penggantungannya, beliau masih mengharapkan perhatian kepemimpinan UMNO selepas sudah tiga kali mengemukakan rayuan bertulis yang sehingga kini masih dipandang sepi.

Tajuddin berkata, selain rayuan cara itu serta rayuan secara tidak bertulis, rayuan mengenainya juga pernah dicubanya bersama dengan isteri beliau yang datang berjumpa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Isteri saya pun jumpa Presiden, bukan kerana nakkan sangat keahlian itu semula tetapi saya rasakan kenapalah benda ini (penggantungan) boleh berlaku begitu sekali. Sampai di situ saya ikhtiar.

Saya tak tahu Presiden ikut cakap siapa. Saya harap presiden berfikirlah secara tenang, imbas kembali segala apa yang disampaikan kepadanya… apa kejahatan, kesalahan besar saya yang menyebabkan payah sangat untuk penggantungan keahlian saya hendak dilepaskan.

“Sudah 50 tahun saya dalam UMNO. Banyak jasa UMNO pada saya dan juga sebaliknya, jasa saya kepada UMNO. Rugi banyaklah kalau saya hendak tinggalkan UMNO sebelum perjuangan UMNO itu sendiri selesai iaitu dalam membela, mengangkat, dan memartabatkan orang Melayu,” katanya.

Tajuddin Ahli MKT UMNO yang dilantik oleh Ahmad Zahid sebelum ini, digugurkan pada Jun tahun lalu dan pada 30 September tahun lalu, MKT UMNO menggantung keahlian Tajuddin selama enam tahun.

Sementara itu, pada sidang media sama, Tajuddin juga menuntut Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro, agar memohon maaf secara terbuka dalam tempoh seminggu berkenaan dakwaan sabotaj parti itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu yang disifatkan fitnah.

Katanya, jika Khairul Azwan gagal berbuat demikian, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang selain akan melaporkan tindakan Khairul Azwan itu kepada Lembaga Disiplin UMNO.

“Sebelum ini segala tohmahan terhadap saya dibuat secara tanpa hitam putih. Namun apabila saya diberitahu bahawa adanya laporan bertulis yang saya tidak tahu siapa yang buat namun dipercayai dibuat oleh pihak berkaitan Khairul Azwan, maka kini saya sudah mempunyai bukti mengenai tuduhan fitnah kononnya saya mensabotaj itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment