Segerakan projek Loji Rawatan Air Tok Bali

BACHOK: Perdana Menteri mahu projek Loji Rawatan Air Tok Bali dan penggantian paip air di Bachok dilaksanakan segera melalui peruntukan RM500 juta yang disalurkan bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan.

Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada peruntukan p RM1.7 bilion yang diumumkan sebelum ini.

“Namun, ia (peruntukan) perlu diuruskan mengikut saluran yang betul. Peruntukan ini adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM1.7 bilion yang diumumkan sebelum ini untuk menyelesaikan masalah air.

“Peruntukan itu bagi penggantian paip di Bachok dan Projek Loji Air di Tok Bali, Pasir Puteh ,” katanya pada Program Temu Anwar Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini.

Anwar berkata, peruntukan itu adalah susulan daripada perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan sebelum ini.

“…rakyat hendak air bersih. Jadi kita bincang (dengan kerajaan Kelantan) nak minta peruntukan selesaikan masalah air.

“Saya kata nak minta banyak sangat (peruntukan) tidak boleh. Jadi kita mulakan projek, tetapi ia dikendalikan bersama (Kerajaan Persekutuan dan Kelantan),” katanya.

Sementara itu, menjawab pertanyaan seorang mahasiswa, Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenai kelonggaran institut pengajian tinggi (IPT) untuk mengadakan konsert ‘kecil dan terkawal’ di dalam kampus.

Katanya , perbincangan itu akan diadakan dengan Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi mesyuarat pada Rabu ini.

Mahasiswa bertanya mengenai tindakan yang bakal diambil susulan konsert yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kemungkinan kerajaan akan longgarkan sedikit iaitu untuk adakan program kebudayaan dan konsert di kampus, tetapi secara kecil dan terkawal.

“Konsert dengan kawalan boleh diadakan tetapi kita kawal sedikit. Saya tidak beri kelonggaran untuk anak muda rosak akhlaknya. Jaga akhlak itu yang paling penting.

“Bagaimanapun ia akan diberikan untuk program kebudayaan. Tapi yang sambut itu (konsert) tidak besar mungkin boleh beri kebenaran kepada kampus. Saya akan bincang dengan Menteri KPT Rabu ini,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan itu untuk mendengar pandangan dan reaksi, selain melihat semula salinan arahan yang dikeluarkan oleh pihak IPT terbabit untuk menyelesaikan masalah itu.

Terdahulu, tular rakaman video sebuah konsert yang memaparkan gelagat penuntut lelaki dan perempuan sedang berhibur sambil menari sehingga menarik perhatian orang ramai.

Related posts

Leave a Comment