KOTA BHARU 18 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Sebaliknya, kata Perdana Menteri, arahannya kepada semua agensi termasuk penguatkuasaan supaya menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan berani.
“Saya sentiasa mengingatkan penjawat awam supaya tidak mengulangi sikap gelojoh untuk pegang jawatan, anak beranak diberi jawatan, beri kontrak sesuka hati serta mengambil komisen.
“Jika disiasat dan didakwa, mereka akan kata ini semua tindakan politik. Saya sebut kerana saya mahu penjawat awam berada di landasan yang betul dan disebabkan itu saya sentiasa mengingatkan supaya jangan melakukan kerosakan dan rompakan kekayaan.
Saya yakin negara mampu diangkat sebagai negara yang berjaya sekiranya Kerajaan Persekutuan di semua peringkat hentikan amalan boros dan tamak haloba yang dikenali sebagai punggah kekayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas kepada Penjawat Awam Negeri Kelantan, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Perdana Menteri juga menyifatkan Malaysia sebuah negara yang makmur, tetapi mengalami ‘kebocoran’ yang banyak termasuk isu pemberian subsidi seperti bahan api diesel dan petrol untuk orang miskin ‘disakau’ dengan begitu banyak.
Justeru, katanya, perkara itu yang akan diperbetul dan diberi penekanan oleh Kerajaan Perpaduan supaya golongan yang benar-benar layak sahaja menikmati subsidi selepas ini.
Sebagai contoh kerajaan menanggung subsidi elektrik RM30 bilion tahun ini sekiranya tidak dikawal, dan untuk itu bagi golongan kaya, kadar akan dinaikkan manakala rakyat biasa tidak akan terbabit.
“Begitu juga dengan Tabung Haji (TH), kenapa mereka yang bergaji RM50,000 sebulan perlu diberi subsidi oleh TH? sekiranya tiada tindakan dilakukan, TH akan terus terbeban,” katanya.
Kerajaan juga tidak berhasrat untuk menaikkan apa-apa cukai yang menyentuh beban rakyat, namun terpaksa menaikkan untuk mereka yang dari golongan kaya.
“Ini yang kita panggil pengurusan yang baik dan lebih penting adalah mengelak kebocoran,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan miskin tegar di Kelantan adalah tinggi iaitu 21.2 peratus.
Beliau sehubungan itu mengarahkan pegawai jajahan supaya mengenal pasti jumlah dengan tepat sebelum perkara itu dinoktahkan tahun ini.
“Jika ada tambahan, kena maklum cepat kerana kita tidak mahu berlaku keciciran. Perkara ini mesti dinoktahkan tahun ini,” katanya.
