Jenazah Mahmood Zuhdi selamat dikebumi

KUALA LUMPUR 18 Jun – Jenazah Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan dengan diimamkan oleh anak sulungnya Ahmad Naji, bersama jemaah di Masjid Tun Abdul Aziz (Masjid Bulat), Seksyen 14, Petaling Jaya.

Mahmood Zuhdi, 78, menghembuskan nafas terakhir pada 10.20 malam Sabtu di kediamannya di Seksyen 11, Petaling Jaya, akibat kanser paru-paru.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Paizah Ismail dan tiga anak, Ahmad Naji, 48, Ahmad Syadi, 45, serta Ahmad Wafi, 41.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Bulat serta tanah perkuburan.

Mahmood Zuhdi adalah seorang tokoh akademik serta dakwah dan ketika hayatnya pernah menjawat pelbagai jawatan antaranya Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya (UM), Pengarah Akademi Pengajian Islam UM dan Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang memperoleh Ijazah Sarjana daripada Universiti Al-Azhar, Mesir dan Doktor Falsafah daripada UM juga pernah berkhidmat sebagai Dekan Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Public Bank.

Allahyarham juga menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2010.

Related posts

Leave a Comment