Operasi SAR Hawari tamat, sambung 2024

KATHMANDU 16 Jun – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim,33, sejak 19 Mei lalu ditamatkan hari ini dan akan disambung tahun depan.

Ketua Misi ME2023,Azim Afif Ishak berkata, pihaknya sehingga semalam, 15 Jun 2023 belum menemui sebarang petunjuk.

Menurutnya, permit khas pencarian menggunakan dron dan SAR udara yang diluluskan pihak berkuasa Nepal juga sudah tamat dan aktiviti pendakian ke puncak Everest sudah ditutup bermula 29 Mei lalu.

Katanya,operasi SAR  yang diadakan semalam (Khamis) turut  mengesan  satu objek  antara Kem Dua dan Kem Tiga tetapi selepas dikenal pasti ia hanyalah longgokkan sampah dan khemah yang diterbangkan angin.

“Objek berkenaan dikesan melalui gambar dan video yang dirakam dron pada 8 Jun lalu menunjukkan seperti jasad Hawari berdasarkan warna sut yang digunakan beliau ketika misi pendakian namun sengaja tidak mendedahkannya  kerana ia masih belum disahkan,” katanya pada sidang media seperti dilaporkan Facebook Malaysia Everest 2023 hari ini.

Turut hadir, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Fadzle Abu Hasan; Pengarah Pioneer Adventure,Nivesh Karki dan ketua malim gunung, Nga Tenji serta dua ahli keluarga Hawari, Mohamad Ismail dan Azhar Ilias.

Misi pendakian ME2023 ini dikendalikan oleh syarikat Pioneer Adventure yang berpusat di Nepal dengan menyediakan tenaga malim gunung,logistik, dan makanan  sepanjang misi ke puncak Everest.

Sebelum ini Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta dan Kerajaan Pulau Pinang RM500,000  kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi operasi SAR Hawari.

Azim berkata,operasi SAR terakhir yang diadakan semalam sepatutnya dilakukan  pada Selasa lalu namun disebabkan cuaca buruk pasukan SAR dan helikopter tidak dapat masuk ke lokasi yang dikesan.

Menurutnya,tiga malim gunung bersama seorang jurugambar yang ditugaskan ke lokasi itu telah menjumpai objek itu dan  mengesahkan ia  bukan jasad Hawari.

Beliau berkata, operasi SAR ini dijangka disambung pada musim pendakian 2024 namun perkara itu  akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak yang berkenaan.

“Status Hawari diletakkan sebagai  ‘orang hilang’ kerana  jasadnya masih belum ditemui sehingga kini,”katanya.

Menurut Azim, penamatan operasi SAR ini juga sudah dibincangkan dan mendapat nasihat daripada pihak  kedutaan Malaysia  di Nepal.

Jelasnya,operator pengendali aktiviti pendakian ke puncak Everest di Nepal turut  menyarankan agar operasi SAR ini ditangguhkan demi  keselamatan pasukan SAR dan faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Related posts

Leave a Comment