Rentas sempadan Brunei mulai 1 Ogos

BERAKAS 15 Julai – Aktiviti rentas sempadan melalui udara, darat dan air disambung semula 1 Ogos ini dengan  pengemaskinian beberapa syarat khususnya berkaitan status suntikan vaksin Covid-19.

Jawatankuasa Pandu Covid-19 mengemaskini beberapa definisi perjalanan keluar negara bagi rakyat dan penduduk tetap negara ini, yang antaranya status ‘vaksinasi penuh’ iaitu sekurang-kurangnya mendapatkan tiga dos vaksin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Halbi Mohd Yussof berkata, jika belum mendapat tiga dos vaksinasi, dos kedua mestilah dalam masa tidak lebih dari tiga bulan sebelum tarikh meninggalkan negara ini.

Beliau memberitahu, bagi warganegara asing yang ingin membuat perjalanan masuk atau keluar negara bagi apa jua jenis perjalanan sama ada melalui udara, darat atau air,  mereka mesti dilengkapi sekurang-kurangnya dua dos vaksin.

Bagaimanapun, katanya, warganegara asing yang hendak masuk ke negara ini adalah disarankan untuk mendapatkan dos penggalak bagi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Beliau menasihatkan mereka yang masih belum mendapatkan atau melengkapkan suntikan vaksin Covid termasuk dos penggalak untuk mendapatkannya dengan segera bagi mengelakkan daripada gejala yang lebih teruk.

Syarat-syarat perjalanan melalui pos-pos kawalan darat dan laut, adalah seperti syarat perjalanan melalui udara yang dilaksanakan sekarang iaitu mempunyai vaksinasi penuh; mendapatkan insurans perubatan perjalanan yang meliputi rawatan Covid-19 sebelum keluar negara iaitu bagi rakyat dan penduduk tetap dan mengisi Arrival Declaration Form (ADF) sebelum memasuki atau kembali ke negara ini.

Maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari laman sesawang JPM di alamat www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn.

Related posts

Leave a Comment