Judi dalam talian dinaungi pemimpin politik

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram dinaungi oleh pemimpin politik, kata Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PRDM) serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.

“Ya memang wujud elemen naungan politik ke atas pengendali judi dalam talian dan saya sahkan.

“Dari situ wujudnya pengaruh dan perlindungan, dari situ juga datangnya rasuah dan sogokan,… tipis kehendak politik untuk mengadakan dan memperbaharui tekad untuk memerangi perkara ini habis-habisan, jadi pusingannya adalah pemain dinaungi dan dia membalas tuan politik yang melindunginya agar tindakan tidak diambil… polis faham sungguh-sungguh dengan pola ini.

Sebab itu, saya imbas sewaktu Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) awal dulu ada menyebut elemen ini, kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) melakukan siasatan tetapi tiada maklumat yang boleh menyokong,” katanya menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang ingin mengetahui jika benar wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian haram.

Saifuddin menegaskan KDN bersama polis kini sedang menyemak jika wujud kelulusan baharu lesen perjudian yang membabitkan orang politik tertentu.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) mengenai langkah memerangi kejadian judi haram dalam talian itu, Saifuddin berkata, kerajaan akan segera meminda dua akta berkaitan iaitu Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953.

“Tadi saya sebut dari segi perundangan kita ada akta dari tahun 1953 iaitu 70 tahun yang kita kena ubah. Akta ini tidak termasuk judi dalam talian sampai hari ini.

“Kelompongan itu menyebabkan pasukan polis tidak ada keupayaan. Banteras buat kertas sisatan (IP) dan hantar ke Peguam Negara naik turun ke mahkamah tapi nak dakwa bawah apa?

“Akhirnya denda hanya RM50,000 di bawah kesalahan kecil. Itu tidak sepadan kerana industri ini (hasil) multibilion,” katanya.

Menjawab soalan asal Ramanan, beliau berkata terdapat usaha meminda Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 pada 2019 namun prosesnya agak perlahan.

Justeru, katanya KDN akan berbincang dengan Perdana Menteri agar pindaan dapat dibuat segera.

“Tahun 1953 ketika itu judi hanya laga ayam, kini dah 2023, judi secara dalam talian. Akta yang kita guna masih sama… kalau polis ambil tindakan dan mereka (penjudi) cabar di mahkamah… judi dalam talian tak termasuk dalam kedua-dua akta ini, mereka akan menang,” katanya.

Beliau menjelaskan antara usaha lain membanteras kegiatan itu termasuk menyekat laman sesawang judi yang menyaksikan sebanyak 2,119 laman sesawang judi disekat bagi tempoh 2021 hingga Mei lalu.

“Dalam aplikasi Telegram juga banyak judi dalam talian, kalau kerajaan sekat aplikasi ini kita dikatakan tidak mesra perniagaan dan ini menjadi ancaman baharu.

“Saya beri jaminan tekad politik baharu kerajaan ini ialah pindaan kepada akta lama ini dibuat segera dan memperkasakan keupayaan PDRM dalam membanteras masalah ini,” katanya

Related posts

Leave a Comment