700,000 isi rumah dapat manfaat perubatan

PUTRAJAYA 15 Jun –  Sebanyak 700,000 isi rumah akan mendapat manfaat Skim Perubatan Madani yang bermula hari ini sehingga 31 Disember 2023 dengan peruntukan yang disediakan sebanyak RM100 juta, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata penerima manfaat termasuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang berpeluang mendapatkan beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah habis.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, skim dilaksanakan secara rintis di 10 daerah itu, memperuntukkan RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, warga emas tanpa pasangan (RM125) dan bujang (RM75).

Sepuluh daerah itu adalah Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah), Kuching (Sarawak) dan Kuala Lumpur.

Menurut Dr Zaliha, rawatan pesakit luar kes akut percuma yang ditawarkan menerusi skim ini merangkumi rawatan bagi demam selsema, cirit birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun, pakej rawatan skim ini tidak merangkumi rawatan akut seperti imunisasi rutin, saringan kesihatan, rawatan susulan penyakit tidak berjangkit, rawatan susulan ibu dan anak rutin, perancangan keluarga rutin, perkhidmatan rehabilitasi serta permohonan ubat-ubatan dan suplemen tanpa konsultasi doktor.

Perkhidmatan percuma ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di klinik pengamal perubatan swasta umum (GP) kepada penerima manfaat mengikut pakej ditentukan.

“Pra-pendaftaran adalah tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan Madani bagi penerima STR dan tanggungannya, sebaliknya mereka hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapat rawatan di GP berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui ProtectHealth menyasarkan 700 GP untuk mendaftar sebagai panel Skim Perubatan Madani menjelang September depan.

“Ketika ini empat sesi penerangan dan latihan kepada GP sudah dijalankan dan dijangka 10 sesi lagi akan dijalankan bagi mencapai sasaran GP yang berdaftar untuk skim ini,” katanya.

Ketika pembentangan Bajet 2023, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan Skim Perubatan Madani sebagai antara inisiatif kerajaan bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

Ia bertujuan membantu golongan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes akut) di GP berhampiran, sekali gus mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.

Related posts

Leave a Comment