Wan Suraya Ketua Audit Negara

PUTRAJAYA 12 Jun – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Integriti Malaysia (IIM), Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dilantik sebagai Ketua Audit Negara baharu, berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan berkata pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan perundingan dengan Majlis Raja-Raja.

“Dimaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 105(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa mulai 13 Jun 2023.

“Pelantikan beliau adalah berdasarkan kepada kepimpinan dan pengalaman luas sepanjang 29 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Jawatan Ketua Audit Negara sebelum ini kosong selama hampir empat bulan selepas Nik Azman Nik Abdul Majid tamat kontrak pada Februari lalu.

Malah, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini menggesa kerajaan segera mengisi jawatan Ketua Audit Negara dengan melantik individu berlatar belakang dalam perakaunan dan pengauditan.

Pengerusinya, Mas Ermieyati Samsudin turut berharap kerajaan menghentikan amalan pelantikan bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian bagi mengisi jawatan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment