Undangan tidak masul akal – Hishammuddin

KUALA LUMPUR 12 Jun – Selepas Maulizan Bujang mempertikaikan kewajaran beliau merayu untuk ‘kembali’ kepada UMNO, seorang lagi yang digantung menyifatkan ‘undangan’ Presiden, Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sebagai tidak masuk akal.

Bekas Naib Presiden UMNO,  Hishammuddin Hussein yang digantung selama enam tahun sangsi dengan keikhlasan jemputan kepada pemimpin yang dipecat dan digantung untuk menyertai semula parti itu.

Mengimbas kembali penggantungannya, Hishamuddin berkata, sehingga ke hari ini, beliau masih tidak pasti apa punca sebenarnya tindakan itu dilakukan terhadapnya.

“Yang saya tahu, dia kata kita kena mohon diterima semula. Kedua, kena bawa ke Jawatankuasa Disiplin tetapi bagi saya, sampai hari ini saya tak tahu sebab digantung.

Masa saya digantung dulu, Jawatankuasa Disiplin tak pernah panggil untuk siasatan dan untuk jawab. Jadi saya pun tak tahu sama ada yang diluahkan baru-baru ini ikhlas atau tak.

“Lagipun bagi saya tak masuk akal, apa yang dicadangkan itu mungkin reaksi, luahan daripada bawah (akar umbi),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Maulizan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, mempersoalkan rayuan yang perlu dibuat oleh ahli yang digantung atau dipecat sedangkan beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Displin sebelum digantung.

Ahmad Zahid ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 baru-baru ini, menegaskan parti sentiasa terbuka untuk menerima ahli yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka yang digantung atau dipecat.

Ditanya sama ada rakan lain yang turut digantung atau dipecat akan menerima undangan Ahmad Zahid itu, Hishammuddin berkata, ia terserah kepada mereka terbabit.

Katanya, rakan yang ditimpa hukuman termasuk digantung atau dipecat sebenarnya tidak mengalami sebarang kerugian.

“Tetapi itu terserah kepada mereka (untuk terima pelawaan). Bagi saya kawan yang digantung, dipecat ini tak ada rugi kerana kita pun sudah digantung. Jadi kalau betul perlukan khidmat kita, sindiran bahkan tawaran bersyarat tak bawa apa-apa makna kepada diri saya, ” katanya.

Related posts

Leave a Comment