KUALA LUMPUR 12 Jun – Kerajaan akan melancarkan Naratif Ekonomi Madani, iaitu satu dokumen reformasi ekonomi yang akan menjadi panduan kepada hala tuju ekonomi negara bagi memudahkan tindakan oleh kementerian dan jabatan berkenaan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, sementara dokumen tersebut diperkenalkan Ogos depan, kerajaan akan meneruskan melaksanakan dahulu dasar sedia ada.
“Kita ada penganalisis ekonomi yang kita cerakin secara ringkas dalam Buku Madani tetapi Kementerian Ekonomi, kementerian terlibat dan sektor swasta, bila ada proses libat urus ini, sudah tentu akan menentukan beberapa dasar termasuk penggunaan tenaga, keutamaan pelaburan dan ekonomi hijau.
“Jadi kita akan tumpukan bidang-bidang yang perlu. Naratif (Ekonomi Madani) akan membuat kerangka besar dan umum disusuli beberapa tiang nadi ekonomi yang akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata reformasi-reformasi ekonomi khusus dijangka diputuskan dalam Mesyuarat MTEN akan datang dengan mengambil kira cabaran-cabaran semasa termasuk di ekonomi dunia.
Jelas beliau, reformasi tersebut antaranya bagi mewujudkan ekonomi bernilai tinggi yang mampan dan menambah baik liputan keselamatan sosial.
“Melalui pendekatan pengupayaan rakyat dan reformasi pasaran kerja untuk meningkatkan gaji pekerja secara berkala, ini selari dengan langkah yang kita ambil sebelum ini iaitu soal penubuhan Pangkalan Data Utama (Padu).
“Padu sekurang-kurangnya mengumpulkan semua data yang kadang-kadang bukan sahaja berbeza tetapi di bawah penguatkuasaan jabatan dan kementerian yang begitu banyak,” tambahnya.
Dalam masa sama, Anwar berkata MTEN turut membincangkan mengenai Hala Tuju Peralihan Tenaga Fasa I.
