PRN: UMNO Pulau Pinang dapat lebih kerusi

TANJONG 12 Jun –  UMNO dijangka mendapat tambahan kerusi untuk ditandingi di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya kerusi yang ditandingi calon Pas dan Bersatu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan itu memandangkan masih terdapat ruang bagi pengagihan kerusi yang disandang oleh gabungan pembangkang .

Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang turut menyifatkan potensi penambahan bilangan kerusi yang bakal diterima UMNO melebihi daripada apa yang disangkakan.

“Jika mengikut prinsip penyandang, UMNO hanya ada dua kerusi di Pulau Pinang, tetapi masih ada ruang (untuk dapat tambahan kerusi) bagi kerusi dimenangi pihak lain.

Contohnya bagi kerusi ditandingi calon Pas dan Bersatu, saya rasa ada (penambahan untuk UMNO) lebih daripada apa yang disangkakan…jadi lebih daripada dua,” katanya selepas majlis pelancaran Strategi Pembangunan Ekosistem Ekonomi di sini, hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan sama ada terdapat kemungkinan UMNO mendapat tambahan kerusi untuk ditandingi dan adakah ia terhad kepada kerusi penyandang saja.

Ditanya adakah rundingan masih berjalan di antara Pakatan Harapan (PH) negeri dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, beliau berkata mesyuarat pada peringkat pusat masih berterusan dan berpandangan sebarang keputusan perlu diputuskan pihak terbabit.

“Kita rasa lebih sesuai keputusan dibuat pada peringkat pusat…boleh katakan kita (PH Pulau Pinang) tak cadang ada perbincangan lagi,” katanya ringkas.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH memenangi 37 kerusi, termasuk kerusi DUN daripada Bersatu yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

BN pula hanya menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala Pas mempunyai satu kerusi iaitu Penaga.

Related posts

Leave a Comment