PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 40 peratus subsidi yang disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat dinikmati oleh golongan kaya, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara itu dibentangkan kepadanya oleh Jawatankuasa Penasihat Kepada Kementerian Kewangan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.
“Saya masih tidak faham kenapa kita nak pertahankan (pemberian subsidi kepada golongan kaya),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MTEN di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak berganjak dengan pendirian untuk mengurangkan subsidi bagi golongan kaya, seperti mana rasionalisasi yang dilaksanakan pada Tabung Haji (TH) dan tarif elektrik.
Katanya walaupun ada sesetengah pihak mempermainkan isu tarif elektrik ini, yang jelas ia tidak membebankan rakyat.
“Ini selari dengan tindakan kita sebelumnya dalam soal tarif elektrik yang disambut baik walaupun cuba dipermainkan oleh setengah pihak, kerana tarif elektrik ini naik hanya bagi syarikat besar dan bagi rumah golongan kaya di peringkat teratas.
“Ia tidak langsung membebankan rakyat, berbeza dengan cadangan kerajaan terdahulu, yang mahu menaikkan kadar elektrik bagi semua,” katanya.
Anwar sebelum ini menegaskan, pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar demi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan dapat menikmatinya.
Perdana Menteri berkata, implikasi subsidi perlu diteliti kerana ia tidak bersasar ketika ini dengan turut dinikmati golongan kaya dan industri.
“Saya tidak ada masalah dengan subsidi untuk rakyat, (cuma) subsidi harus bersasar… jika tidak, harga minyak sebagai contoh, dimanfaatkan oleh golongan miskin dan kaya,” katanya.
