RM2.556 juta bantuan khas mudarat vaksin

KUALA LUMPUR 12 Jun – Kerajaan telah menyalurkan RM2.556 juta Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 kepada 150 pemohon sehingga 31 Mei lalu, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata sebanyak 319 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, sebanyak 150 permohonan telah diluluskan oleh Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin.

Timbalan Menteri itu menggulung perbahasan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 di Dewan Rakyat, hari ini. Usul kertas putih itu dibentangkan Lukanisman minggu lalu.

Lukanisman menjelaskan, bantuan khas itu diberikan kepada pemohon yang menjadi penerima vaksin Covid-19 yang mempunyai Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) yang serius atau hilang upaya kekal serta waris penerima vaksin yang meninggal dunia.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga 1 Jun lalu, sebanyak 8.5 juta dos vaksin pelbagai jenama diluput di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan gudang simpanan vaksin Covid-19.

Katanya, proses pelupusan dan pelaporan vaksin dalam simpanan dilaksanakan mengikut Tatacara Pengurusan Aset dan Tatacara Pengurusan Stor yang berkuat kuasa.

Sementara itu, bagi sumbangan vaksin Covid-19 kepada negara luar, KKM menawarkan 1.89 juta dos vaksin kepada negara seperti Bangladesh, Myanmar, Laos dan Bosnia Herzegovina.

Beliau turut memaklumkan kerajaan pada 26 Mei lalu bersetuju agar baki 2.7 juta dos vaksin Covid-19 kanak-kanak keluaran Pfizer BioNTech akan ditukarkan kepada vaksin Covid-19 generasi baharu dan disasarkan kepada golongan rentan tanpa implikasi kewangan tambahan.

Mengenai hala tuju vaksinasi Covid-19, untuk tahun 2023-2024, kerajaan melaksanakan selaras dengan syor terkini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana pemberian vaksin disarankan terus diberikan kepada individu yang berisiko tinggi.

Ini termasuk warga emas berumur melebihi usia 60 tahun terutamanya individu

dengan komorbid teruk atau obesiti teruk, individu berusia melebihi usia lima tahun dengan berisiko dan mudah dijangkiti, juga ibu mengandung dalam kalangan remaja dan dewasa serta kakitangan kesihatan barisan hadapan.

Related posts

Leave a Comment