SEREMBAN: Selepas berteka teki mengenai parti politik pilihannya, akhirnya pelakon dan pengarah, Eizlan Yusof , 51 disahkan menjadi ahli Pas.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan mengesahkan penyertaan itu bersama lebih 3,000 lagi ahli baharu.
“Hari ini (semalam) sahaja lebih 3,000 yang menyertai kita (Pas), termasuk kumpulan Tan Sri Annuar Musa (bekas Setiausaha Agung BN)
“Ada ramai lagi tokoh masyarakat dan pemimpin termasuk dari UMNO yang sudah menyatakan pendirian untuk menyertai Pas atau Perikatan Nasional (PN), cuma tunggu masa untuk diumumkan,” katanya selepas Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat PN Negeri Sembilan di Senawang, semalam.
Sebelum ini, Eizlan enggan mengesah atau menafikan mengenai dakwaan beliau bakal menyertai PN.
Eizlan sebelum ini merupakan salah seorang selebriti tanah air yang menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bertanding atas tiket Pejuang di kawasan Parlimen Sabak Bernam.
Bagaimanapun beliau hanya menerima sebanyak 460 undian, dan turut kehilangan wang deposit.
Sementara itu Takiyuddin memberitahu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sehingga kini belum memuktamadkan keputusan namun menyatakan hasrat bersama PN.
Takiyuddin berkata, Khairy sudah menemui Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan Jun, baru-baru ini dan bekas Ahli Parlimen Rembau itu telah menyatakan pendirian, akan tetap menjadi pengundi di Negeri Sembilan.
“Setakat ini dia belum memutuskannya lagi, tetapi dia sudah menyatakan pendirian tetap bersama kita (PN). Dia dah jumpa (Muhyiddin) dan akan berjumpa lagi dalam masa terdekat, itu perkembangan terbaru, namun setakat ini belum ada keputusan,” katanya.
