KUALA LUMPUR 11 Jun – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa beliau menggunakan sistem perundangan negara untuk membalas dendam terhadap mana-mana individu.
Katanya, jika beliau berdendam, sudah ramai yang terperosok ke Penjara Sungai Buloh.
Sebaliknya, beliau sentiasa menghormati undang-undang negara termasuklah tidak mencampuri tugas serta keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara dan hakim terhadap sesuatu pendakwaan.
“Saya tahu perlunya kita pertahan prinsip keluhuran undang-undang. Siapa yang mahu disiasat, didakwa itu bukan kuasa saya, kuasa saya terhad kepada pengarahan terhadap institusi keselamatan menjalankan tugas mereka dengan tegas dan berani,” katanya ketika berucap selepas menyaksikan pementasan teater “Cikgu Anda” malam tadi.
Anwar berkata, beliau tidak boleh mengarahkan Peguam Negara untuk mendakwa kerana sesuatu pendakwaan mesti mempunyai fakta yang kukuh.
Katanya, beliau tidak mahu menjadi seorang pemimpin yang menggunakan kuasa untuk menindas dan menzalimi mana-mana individu.
Perdana Menteri menegaskan, selama tujuh bulan memimpin negara, beliau tidak pernah meminda perjawatan institusi kehakiman.
“Apa sahaja yang dikemukakan oleh jawatankuasa membawa kepada Ketua Hakim Negara dihantar kepada saya, saya ikut proses sahaja, tidak ada satupun yang saya pinda. Melainkan kalau hakim itu punyai rekod yang mungkin dipertikai,” katanya.
Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya tatakelola serta pentadbiran di negara ini dibersihkan tanpa wujud unsur negatif malah politik negara perlu terhindar daripada adu domba atau merendahkan martabat pihak lain.
Katanya, mencari kelemahan pihak lain adalah politik tidak matang.
