Siapa sebenar ‘mengkarung politik’?

KUALA LUMPUR 10 Jun – Siapa sebenarnya pemimpin ‘political chameleon’ atau ‘mengkarung politik’? UMNO atau Pas?

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menyebut secara khusus siapa yang dimaksudkan sebagai ‘mengkarung politik’ tetapi pemimpin Pas hari ini tampil menyifatkan pemimpin UMNO itu adalah ‘mengkarung politik’ sebenar.

Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin, berkata Pas daripada dulu tetap teguh mempertahan, memperjuang kedaulatan Islam dan Melayu berasaskan kepada keluhuran perlembagaan dan perpaduan ummah selaras dengan apa yang telah diusahakan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Katanya, perpaduan ummah dan integrasi nasional adalah kunci kestabilan pemerintahan serta politik negara kerana majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu.

“Kestabilan telah terbukti apabila kumpulan majoriti menerajui pemerintahan dan menjaga hak kaum-kaum lain dalam masa yang sama.

“Kombinasi PN-Perpaduan Ummah adalah adalah alternatif terbaik berbanding PH-UMNO yang didominasi oleh DAP dan diikat dengan penipuan luar tabi’e (No DAP, No Anwar) yang dicanangkan oleh pemimpin ‘political chameleon’ atau ‘mengkarung politik’ sebelum PRU15,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Pas berpegang teguh pada pendekatan politik secara aman, matang dan sejahtera dan tegas menolak sebarang pencabulan terhadap kesucian Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

“Pas dan Perikatan Nasional akan terus membawa agenda perpaduan ummah berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai satu formula ampuh kestabilan politik dan pentadbiran negara,” katanya.

Beliau mengulas ucapan Ahmad Zahid yang menggunakan istilah ‘political chameleon’ untuk menggambarkan perbezaan UMNO dengan sebuah lagi parti yang menggunakan Islam sebagai label perjuangan.

Ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Ahmad Zahid menyifatkan parti berkenaan (tidak sebut Pas) sebagai mengkarung politik sebenar kerana sanggup memperdagangkan ayat suci dan berselindung di sebalik kepentingan politik sempit mereka.

Related posts

Leave a Comment