Ambil semangat semut, bukannya dinosaur

KUALA LUMPUR 10 Jun – Wakil Veteran UMNO, Zainal Abidin Sakom mengajak ahli UMNO mengambil semangat semut dalam meneruskan perjuangan parti supaya tidak mudah tergugat berbanding dinosaur.

Katanya, semut walaupun kecil mempunyai semangat setiakawan, dapat bekerjasama, tolong-menolong antara satu sama lain mencipta kejayaan dan perkara yang boleh menggugat parti dapat diatasi secara bersama.

Sebaliknya dinosaur lebih mementingkan diri, suka makan kawan, malah anak dan isteri pun dimakannya, dan apabila tinggal seorang baru disedari pentingnya orang ramai dan akhirnya dinosaur mati beragan, sampai sekarang pun dinosaur pupus.

“Mari kita menjadi semut…semut kecil-kecil dan halus, tapi bagaimana dapat bekerjasama dan tolong-menolong, bagaimana semut ini dapat bahagi-membahagi, ada nampak benda besar dia pergi dan bawa balik ke sarangnya.

“Kalau kita lihat semut, rumah yang besar pun boleh ditumbangkannya. Maka, untuk membetulkan UMNO ini kita perlu banyak semut, orang yang mempunyai sifat semut.

“Pemuda marilah kita bangkit bekerjasama menjadi semut-semut kecil, tetapi sangat berpadu menentukan supaya UMNO kembali mendapat kepercayaan dan semua orang mendapat nikmat bersama dengan UMNO,” katanya dalam ucapan perbahasan sempena PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Ketua Penerangan Veteran UMNO itu menggunakan istilah dinosaur untuk menggambarkan sikap mementingkan diri dan suka makan kawan yang patut dihindari, manakala semangat semut yang meskipun kecil tetapi mengutamakan kerjasama dan semangat setiakawan yang harus dicontohi.

Katanya, dalam parti, orang yang memiliki sikap dinosaur ini umpama yang sudah kalah dua tiga kali masih nak bertanding, akhirnya akan mati beragan.

Dalam perbahasannya beliau turut memuji keberanian Pemuda UMNO yang menegur parti dan bersuara lantang dalam mempertahankan parti.

“Kita sekarang ini melihat sudah ada satu gerakan Pemuda yang tahan lasak sudah bangkit , beri tepukan kepada Pemuda, kita perlu yang begini sebab orang muda sememangnya macam itu.

“Kita orang tua ini biasanya menasihatkan orang muda. Kita nak bagi tahu musuh politik kita, kita ada Pemuda dan Wanita…siapa yang nak mengacau parti dan presiden, mereka ini yang akan menentang.

“Kita perlu orang muda untuk mengawal parti supaya mana-mana gerakan kita di masa depan nanti dihormati,” katanya.

Veteran UMNO itu turut mencadangkan supaya diwujudkan Mahkamah Perlembagaan bagi menjaga dan mengawal keluhuran undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Siapa yang langgar dan menyentuh perkara berkaitan Perlembagaan negara, maka mereka boleh didakwa dan dibawa ke mahkamah perlembagaan ini.

“Mahkamah Perlembagaan ini bukan hanya Malaysia yang baru hendak buat kerana sudah ada 85 negara yang melaksanakannnya. Jika kita tidak buat sekarang, maka kita akan ketinggalan,” katanya.

Pada masa sama, Veteran UMNO mengambil sikap positif dalam penganugerahan gelaran Tan Sri kepada veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Ada orang marah kepada Presiden dengan pemberian gelaran itu, Veteran sebaliknya mengambil sikap positif .

“Apabila Kit Siang menerima gelaran Tan Sri, maka secara automatik beliau mengiktiraf Sultan dan Raja-raja yang dulunya dia tidak terima, malah dulu beliau diminta pakai songkok pun tak mahu.

“Ini kita lihat beliau memakai songkok ketika menerima gelaran itu bermakna apabila dia terima (anugerah) daripada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan itu selaku ketua agama, maka sesungguhnya beliau sudah menerima agama Islam sebagai agama rasmi tanah air.

“Jadi tidak bolehkah cerita ini kita cerita di kampung-kampung perkara ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment