KUALA LUMPUR 10 Jun – UMNO Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mewujudkan semula Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) diwujudkan semula supaya kesejahteraan warga di kawasan itu tidak terabai.
Ketua UMNO Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, berkata KWP yang diturunkan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan dalam tempoh tujuh bulan ini gagal membawa hala tuju baharu kerana punca kuasa dan peruntukan yang terhad.
“Banyak dasar dan isu yang tertangguh terutamanya dari segi pembangunan sosial melibatkan isu perumahan, isu penjaja-peniaga kecil, isu trafik yang bertambah meruncing, isu kos sara hidup dan pelbagai lagi.
“Ditambah dengan kesibukan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang juga merupakan Menteri Kewangan dan selaku de facto Menteri Wilayah Persekutuan tidak mampu menumpukan perhatiannya dengan masalah, isu dan dasar buat Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, selepas Kementerian Wilayah Persekutuan dimansuhkan di bawah Kerajaan Perpaduan, bukan hanya jawatan menteri sudah tidak lagi wujud, malah lantikan senator bagi Labuan turut ditarik.
Gulam Muszaffar berkata demikian ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Pada masa yang sama beliau mahu Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, diberi tempat dalam Kabinet berikutan beliau sebagai satu-satu wakil parti itu yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Katanya, jika Johari yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan diberi tempat, beliau bukan saja akan memberi manfaat kepada ahli UMNO di kawasan itu, malah seluruh ahli UMNO.
“Kita di Wilayah Persekutuan tak rasa lagi kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan berbanding Perak, Pahang dan Melaka. Sedih kita, sudahlah tiada peruntukan.
Kasihan Datuk Seri Johari, walhal beliau ini ialah ‘the last man standing in’ (yang paling akhir bertahan di) Wilayah Persekutuan, Selangor, Lembah Klang (dan beliau) Naib Presiden.
“Berilah tempat dalam kerajaan untuk bos saya ini. Tahulah beliau nak buat apa. Bukan setakat Wilayah, saya percaya kalau Datuk Seri Johari mendapat tempat, semua orang dalam UMNO akan rasa tempias daripada tangannya,” katanya.
Beliau mendakwa, UMNO di Wilayah Persektuan kini seperti pembawa bunga manggar ketika majlis perkahwinan.
“Kita pakai cantik-cantik, sama-sama berarak masuk ke dalam dewan majlis, lepas pengantin duduk di pelamin, kita terus beredar dan dilupakan. Inilah nasib kita yang lebih kepada penyeri majlis yang tidak boleh menentukan sebarang dasar,” katanya.
Beliau turut mendakwa, jawatan penting seperti Ahli Majlis Perwakilan Penduduk di setiap parlimen yang diterajui Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tidak dibincang dan diberikan kuota kepada UMNO.
