Tiada sebab UMNO tidak boleh bersama DAP

KUALA LUMPUR 7 Jun – Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, tidak ada sebab kenapa UMNO tidak boleh bekerjasama dengan DAP kerana sebelum ini Pas juga pernah bersama dengan parti itu.

Presiden UMNO itu berkata, selama ini agenda mengenai Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu tidak pernah diusik oleh mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Malah mereka menghormati itu perjuangan UMNO kerana terdapat dalam Perlembagaan UMNO bahawa keempat-empat unsur ini wajib dipertahankan dan mereka bersetuju.

Saya tidak nampak ada permasalahan kononnya kita terpaksa menggadai maruah dan sebagainya, sebab Pas (pernah) bersama dengan DAP dah lama. Kenapa PAS boleh, bila kita (UMNO) buat kononnya kita ini menggadai Islam dan Melayu,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri sesi Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 petang ini.

Ahmad Zahid mendakwa, Pas sebelum itu telah melakukan ‘perkahwinan mutaah’ politik beberapa kali dengan pelbagai parti, termasuk DAP.

Mengenai taklimat yang diadakan semalam, Ahmad Zahid berkata, semua perwakilan UMNO yang hadir diingatkan mengenai beberapa aspek, terutamanya realiti baharu politik tanah air ketika ini.

Katanya, walaupun UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, parti itu tidak dominan dan itu hakikat yang harus diakui.

Justeru katanya, enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menuntut kerja kuat UMNO dan harus membuktikan mana-mana kerusi yang dimuktamadkan untuk diberikan kepada Barisan Nasional (BN) hendaklah dimenangi.

Beliau berkata, ahli UMNO harus sedar pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, undi yang diterima parti itu cuma berada sekitar 23 peratus.

“Kerusi yang kita peroleh cuma sekitar 11 peratus sahaja. Dua kali kita kecundang, dalam PRU14 dan PRU15. Kita harus bangkit untuk bangkit. Kita harus perbetulkan kelemahan kelemahan kita,” katanya.

Zahid berkata, masalah yang dihadapi UMNO ketika mendepani kedua-dua PRU itu kerana mereka melayani titik-titik perbezaan.

“Kali ini kita mesti mencari titik persamaan dan kita harus bergerak ke hadapan. Dalam BN, kita ada MCA dan MIC, dalam PH ada DAP, di situ yang kita harus lihat ialah bagaimana kebersamaan di antara BN dengan PH,” katanya.

Related posts

Leave a Comment