Lapor polis dianggap jenayah ‘laporan palsu’

SEPANG : Pengerusi DAP Lim Guan Eng mendakwa laporan polis terhadapnya berhubung isu tokong boleh dianggap melakukan satu jenayah iaitu membuat ‘laporan palsu’ di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Katanya, ini berikutan China Press hari ini menyiarkan satu laporan khas bahawa portal MalaysiaNow tersilap dalam terjemahan laporannya.

“Hari ini China Press menyiarkan satu laporan khas bahawa MalaysiaNow tersilap dalam terjemahan laporannya kerana saya tidak pernah menyebut tokong Cina ataupun Buddha dalam ucapan saya.

Ini mengesahkan kenyataan saya semalam bahawa ucapan Bahasa Mandarin saya telah diputarbelitkan bahawa “PN berniat merobohkan tokong Buddha atau Cina.” katanya melalui hantaran di Facebooknya.

Beliau mengulangi kenyataannya bahawa yang dirujuk ialah kes sebuah kuil Hindu dirobohkan pada tahun 2020 di Kedah.

Guan Eng juga mengingatkan Ketua Pemuda PN,  Ahmad Fadhli Shaari harus berani membuat laporan polis terhadapnya dan tidak membiarkan anak-anak buahnya menghadapi kemungkinan melakukan ‘jenayah membuat laporan polis palsu’.

Dalam kenyataannya, Guan Eng turut menyiarkan laporan akhbar yang menjelaskan mengenai terjemahan yang salah faktanya.

Baru-baru ini portal berkenaan memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Kemaraan ‘gelombang hijau’ didakwa akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Related posts

Leave a Comment