KUALA LUMPUR 7 Jun – Generasi baharu UMNO perlu mempunyai agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman jika parti itu mahu kekal relevan, kata Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.
Katanya, jika ingin kekal relevan, UMNO perlu mewujudkan pelan tindakan baharu yang mengutamakan agenda Melayu.
“UMNO belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu. Oleh itu, kaum Bumiputera jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.
“Orang Melayu kita masih tergolong dalam kumpulan miskin tegar, dengan kadar kemiskinan tertinggi berbanding masyarakat yang lain,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO malam ini.
Justeru Mohamad mencadangkan UMNO menganjurkan sebuah Kongres Melayu untuk menghimpunkan pemikir terbaik bangsa untuk membantu UMNO menghasilkan pelan tindakan Melayu Maju.
Katanya, Pergerakan Pemuda dan Puteri boleh menggerakkan kongres itu bagi membuktikan mereka bersedia untuk mengemudi agenda bangsa bersama.
Mohamad berkata, solusi UMNO untuk segala pemasalahan rakyat dan orang Melayu mestilah dalam satu bentuk pelan tindakan kemajuan dan pemodenan bangsa Melayu yang lengkap, menyeluruh dan kalis masa.
“Jika UMNO tidak menyediakan pelan tindakan sebegini, maka bagaimana kita akan merencana program yang sistematik untuk kemajuan bangsa Melayu,” katanya.
Mohamad mengajak perwakilan UMNO memulakan langkah berani dan tegas dalam merangka pelan tindakan baharu itu dengan membawa Agenda Melayu, yang moden dan maju, untuk meyakinkan bangsa Melayu, bahawa UMNO ada rencana yang jelas untuk bangsa.
“Dengan sedemikian, kita dapat membuktikan bahawa, kita sedar akan masalah yang melingkari bangsa Melayu, dan kita ada strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata, hanya dengan kewujudan pelan tindakan baharu, UMNO dapat membezakan daripada parti politik yang menunggang agama dan bangsa, dalam landskap politik Malaysia.
Beliau juga mencadangkan kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk menggunakan perhimpunan kali ini, sebagai wadah memberikan saranan, bagaimana UMNO harus mengemudi masa depan parti dengan rakan-rakan politiknya dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, UMNO perlu meninggalkan politik yang jumud, dan menjarakkan diri dari pemikiran politik sempit.
“Berhentilah menagih segala jawatan, segala kontrak, dan segala gelaran. Jangan terpedaya dengan kilauan kuasa dan imbuhan, dek kerana kita adalah sebahagian dari kerajaan waktu ini,” katanya.
