Pilihan UMNO pertahan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: UMNO tidak ada pilihan kecuali mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang disertai ketika ini, bagi meyakinkan kembali kepercayaan rakyat, seterusnya menamatkan kecelaruan politik tanah air sejak empat tahun lalu.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, berkata prestasi parti dalam kerajaan akan menentukan, sama ada UMNO boleh dipercayai ataupun tidak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tegasnya, menjayakan kerajaan ini sangat penting kepada UMNO dan parti tidak lagi boleh mensia-siakan peluang yang ada kerana tiada siapa yang akan percaya kepada parti itu sekiranya kerajaan hari ini gagal.

“Bayangkan implikasinya kepada UMNO, jika kita mensia-siakan peluang ini. Jika kita tidak berprestasi dan jika kita pula yang menjadi masalah kepada Kerajaan Perpaduan.

“Siapa lagi yang akan percaya kepada UMNO selepas ini, jika kita gagal menjayakan kerajaan ini. Kita bukan sahaja akan mengecewakan kepercayaan raja yang kita kasihi.

Kita juga akan menjadikan rakyat lebih muak dengan drama politik kita,” katanya sambil mengingatkan , pengundi juga akan terus menghukum UMNO dengan hukuman penolakan yang tidak akan memungkinkan parti itu bangkit semula.

Mohamad berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2023 du Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.

Menurut Mohamad, UMNO harus terima dan hidup dengan kenyataan bahawa parti itu telah tewas dengan dahsyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun UMNO dan BN yang cuma mempunyai 30 kerusi, ditakdirkan menjadi penentu dalam penubuhan kerajaan dan kepemimpinan UMNO melakukan ijtihad politik, untuk bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kerana kita menyedari betapa kecilnya pengaruh kita di mata pengundi. Dan untuk survival UMNO, kita mesti mencari jalan menjadi sebahagian dari Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, UMNO mesti menggunakan peluang yang sangat unik ini untuk membezakan UMNO dari parti politik lain.

“Bahawa kita bukan sekadar punya iltizam. Kita punya kepakaran, kebijaksanaan, ilmu dan pengalaman yang boleh kita manfaatkan untuk menjadikan kerajaan ini kerajaan yang cekap, bersih dan amanah,” katanya.

Mohamad juga mengajak semual ahli membelakangkan segala perbezaan, mengetepikan segala emosi, dan memperbaharui setiakawan demi UMNO, Malaysia dan bangsa Melayu.

“Ketepikan segala apa jua kemarahan, dendam, luka dan nestapa. Akhirnya, di mana ada manfaatnya, semua kemarahan, kebencian dan perbezaan tersebut untuk bangsa dan parti?,” katanya.

Beliau mengingatkan masalah parti perlu diselesaikan dengan cara parti dan sebarang kritikan walaupun bernas haruslah disalurkan melalui medium dalaman.

“Jangan musnahkan UMNO dengan amarah, dan dendam kesumat kita, hanya kerana cita-cita peribadi kita terkandas.Segala sindir menyindir di media umum wajar dihentikan. Perbuatan ini tidak ubah seperti menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri,” tegas beliau.

Related posts

Leave a Comment