Rundingan agihan kerusi BN-PH selesai

MARANG 5 Jun –  Rundingan pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri Terengganu sudah selesai, kata Pengerusi UMNO negeri, Dr Ahmad Said.

Beliau berkata jumlah kerusi dan kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) akan ditandingi calon BN dan PH akan diumumkan presiden parti masing-masing.

Katanya, rundingan pengagihan kerusi di peringkat negeri diadakan sebanyak tiga kali sebelum diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti.

“Kita serahkan kepada presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat keputusan muktamad.

Terpulang kepada presiden parti dalam PH untuk keputusan muktamad, tetapi perbincangan pengagihan kerusi di peringkat negeri sudah selesai dilakukan,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Jentera PRN peringkat Parlimen Marang, di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia negeri (IKBN) Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Ketika mengulas mengenai calon, Ahmad berkata, perbincangan mengenai calon akan dilakukan selepas pembubaran DUN.

“Senarai calon yang akan bertanding sudah disenarai pandek, tetapi perlu melalui beberapa proses,” katanya.

Related posts

Leave a Comment