“Saya lebih suka orang panggil Kit”

KUALA LUMPUR 5 Jun – Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniah kepadanya tetapi meminta orang ramai terus memanggilnya dengan nama Kit, walaupun kini sudah bergelar Tan Sri.

“Terima kasih kepada semua yang mengucapkan tahniah, tetapi saya lebih suka orang hanya memanggil saya Kit,” tulisnya ringkas.

Kit Siang, antara 839 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Pasa majlis itu, Kit Siang bersama 36 individu lain dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) iaitu anugerah Persekutuan kedua tertinggi yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Anugerah tertinggi ialah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) atau Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Seri Setia Mahkota, yang membawa gelaran Tun.

Kit Siang, 82, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di tujuh kawasan sejak 1969 hingga 2022, adalah pemimpin DAP pertama yang dianugerahkan dengan gelaran berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, turut mengucapkan tahniah kepada Kit Siang dan memaklumkan ia adalah satu pengiktirafan amat bermakna kepada parti berkenaan.

“Patik bagi pihak DAP Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas perkenan Tuanku mengurniakan PSM, yang membawa gelaran Tan Sri kepada mantan Pengerusi dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang.

“Pengurniaan ini adalah satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada DAP dan juga satu penghormatan kepada sumbangan Tan Sri Lim Kit Siang dalam sistem demokrasi negara selama 57 tahun,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Loke berkata, walaupun Kit Siang tidak menjadi anggota pentadbiran dalam Kerajaan Persekutuan, sumbangan dan peranan beliau sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia selama 29 tahun amat penting dalam menyuburkan sistem demokrasi negara.

Dalam hantarannya, Loke berkata, Kit Siang pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat selama 11 penggal mewakili pelbagai kawasan Parlimen di lima negeri dari tahun 1969 hingga 2022.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang juga anak lelaki Kit Siang melalui hantaran Facebooknya juga menyatakan rasa bangga dengan penganugerahan yang diterima oleh bapanya.

“Bukan senang melihat ayah tersenyum begini. Dengan ucapan tahniah orang ramai  benar-benar membuatnya gembira. Terima kasih semua,” katanya.

Sementara itu, melalui hantaran di Facebooknya, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying juga bangga dengan penganugerahan itu.

“Tahniah ayah, saya sangat bangga dengan ayah!

Prestasi dan sumbangan yang luar biasa ayah kepada dunia politik negara terbukti setelah dikurnia gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agung. Ini adalah hasil dari kerja keras dan dedikasi yang tidak kenal erti putus asa demi negara tercinta,” kata anak perempuan Kit Siang itu.

Beliau berkata, pengaruh Kit Siang tidak hanya terbatas pada keluarga, tetapi juga meluas pada masyarakat dan negara.

“Ayah selalu menjadi aspirasi terbesar dalam hidup saya. Semangat gigih, kecerdasan, dan dedikasinya saya pelajari sehingga sekarang.

Beliau selalu bersikap jujur dan tulus terhadap orang lain, dan tidak pernah menyerah. Kemampuan kepemimpinan dan kebijaksanaannya telah memberi banyak manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment