Pendirian Dr. Akmal dapat pujian KJ

SEPANG 5 Jun –  Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memuji Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang bertegas tidak akan menjemput wakil parti membentuk Kerajaan Perpaduan ke persidangan agung sayap itu.

Khairy,  bekas Ketua Pemuda UMNO juga menghantar mesej kepada Dr Muhamad Akmal dengan menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu merupakan pendirian yang berani dan mempunyai maruah.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata Dr Akmal merupakan seorang pengganti yang layak berbanding Ketua Pemuda UMNO sebelumnya.

“Ini baru pendirian ketua pemuda yang berani dan ada maruah. Saya kata kepada dia (Dr Muhamad Akmal) anda merupakan pengganti yang layak. Yang sebelum dia itu pengganti yang tak layak,” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap.

Beliau merujuk kepada Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO sebelum Dr Muhamad Akmal.

Dr Muhamad Akmal sebelum ini menyatakan, Pemuda UMNO sebulat suara tidak akan menjemput wakil parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ke persidangan agungnya yang akan berlangsung minggu ini.

Beliau berkata, pihaknya mahu ‘memperbetulkan’ dulu apa yang berlaku di ‘rumahnya’ sebelum menjemput mana-mana parti.

Khairy berkata, UMNO tidak pernah menjemput parti yang sebelum ini menjadi seteru bagi menghadiri PAU kecuali Pas selepas pemeteraian Muafakat Nasional (MN).

“Pas pernah dijemput selepas kita memeterai Muafakat Nasional (MN). Tetapi saya nampak MN tidak mengundang reaksi dan kurang selesa dalam kalangan akar umbi. Akar umbi UMNO sekarang ini dalam keadaan tidak selesa.

Mereka faham kenapa perlu ada kerajaan campuran dan sebagainya. Saya rasa naratif Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) itu telah diterima. Tetapi mereka tidak selesa mengenainya,” katanya.

Mengulas isu sama, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan turut memuji tindakan Dr Muhamad Akmal.

“Dalam hal ini sebenarnya mencerminkan apa yang saya dah agak tentang dia (Dr Muhamad Akmal). Mungkin dia calon pilihan Setiausaha Agung yang juga bekas Ketua Pemuda (Asyraf Wajdi) menyusun banyak perkara. Mungkin sebab itu juga dia menjadi pilihan Presiden (Ahmad Zahid) waktu pemilihan.

“Tetapi Dr Muhamad Akmal ada sedikit kecenderungan yang boleh membawa kepada situasi dia tidak akan ikut membuta-tuli dan ini mungkin indikator pertama dalam penggal ini.

“Sebelum ini nampak ikut serta kita ingat dia minta maaf pada Amanah waktu Konvensyen Perpaduan dan sebagainya tetapi ini kali pertama dia mengambil jalan yang berlainan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment