‘Dulu tiga orang makan sedulang’

TAPAH 26 Mac – Rundingan kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah cabaran terbesar bagi semua parti dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong.

“Sebelum ini hanya tiga orang makan Nasi Ambeng dalam dulang. Sekarang parti di bawah Kerajaan Perpaduan lebih besar. Jadi, kita perlu lihat dan bincang secara menyeluruh,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu sudah dibincangkan ketika mesyuarat kedua Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 19 Mac lalu dan rundingan masih berjalan sebelum dimuktamadkan pada pertengahan April.

“Apa pun, kita tunggu sehingga rundingan selesai kerana ia bukan sahaja membabitkan gabungan Barisan Nasional (BN), tetapi ketika ini, ia lebih kompleks kerana ia membabitkan gabungan besar

Kita ada BN, kemudian kita ada Pakatan Harapan (PH) dan kita kena bincang secara baik, untuk menunjukkan kita memang Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang dekat Dewan Bukit Pagar di sini, hari ini.

Ditanya strategi pembahagian kerusi, Ka Siong berkata, ia berbeza sedikit untuk enam PRN berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, semua permainan politik juga berbeza.

Ketika PRU15, lawan jadi kawan dan kawan jadi lawan dan untuk pilihan raya akan datang ini, adalah penting untuk kita bergerak bersama.

“Senario itu tidak lagi sama seperti sebelum ini yang kita hanya berbincang dengan komponen parti BN, tetapi sekarang ia lebih kompleks. Kali ini, semangat Kerajaan Perpaduan mesti ditunjukkan dalam enam PRN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment