KJ mungkin tubuh parti baharu

SEPANG 5 Jun –  Selepas menyatakan kesediaan bertemu pemimpin Bersatu dalam tempoh terdekat, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu.

Khairy atau KJ berkata, sekiranya menyertai parti politik lain, beliau mungkin terpaksa menyesuaikan diri untuk mengikuti ‘adat resam’ parti itu tetapi dengan menubuhkan parti baharu, ia akan diadakan mengikut terma dan syaratnya sendiri.

Katanya , sejak beberapa minggu ini, beliau melihat pilihan itu walaupun beberapa bulan sebelum ini beliau agak berat untuk menubuhkan parti baharu kerana melihat pasaran politik yang agak tepu ketika ini.

“Tetapi saya melihat sekiranya kita dapat permulaan dalam parti politik, kenapa tidak dengan terma sendiri. Sebab bila kita masuk mana-mana rumah (parti politik), kita kena sesuaikan diri dengan adat resam rumah itu.

“Mungkin parti itu tidak 100 peratus seperti yang kita mahu, seperti dalam UMNO dahulu. Walaupun saya tidak kesal memilih UMNO tetapi kita juga terpaksa menyesuaikan diri dalam UMNO.

Jadi apabila kita dapat peluang kedua (dipecat), dan bukan semua dapat peluang kedua itu, mungkin kita boleh lakukan dengan terma kita sendiri,” katanya menerusi siaran podcast `Keluar Sekejap’,

Beliau menjawab pertanyaan pendengar podcast, bersama bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Khairy juga tidak menafikan, parti yang ditubuhkannya berkemungkinan akan menemui kegagalan dalam persaingan pilihan raya, seperti berlaku terhadap Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Bagaimanapun, beliau optimis dengan langkah itu, malah memetik langkah sedemikian pernah dilakukan bekas Presiden Pakistan, Imran Khan.

“Jika kita tubuhkan parti baharu, kita mungkin menjadi seperti Pejuang. Maaf untuk katakan (parti itu) hilang deposit, orang gelakkan namun kepuasan itu lebih, sebab dibuat secara ‘on our own terms’. Baik untuk kesihatan mental anda juga.

“Imran boleh melakukannya kerana apabila dia bermula, dia mengalami kekalahan demi kekalahan. Sekarang pun dia kalah tetapi beliau menang sebelum kembali kalah.

“Jadi apabila kita bermula dengan parti sendiri, sudah tentu kita kena bersedia untuk tidak menang dalam beberapa pilihan raya. Mungkin satu hari nanti, siapa yang tahu,” katanya.

Sebelum ini, pada 17 Mei lalu, Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada Khairy.

Related posts

Leave a Comment