KJ jumpa Muhyiddin dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR 2 Jun – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, komen dan kritikan yang diterima daripada penyokong UMNO dan Pakatan Harapan (PH), akan turut mempengaruhi keputusan masa depan politiknya.

Beliau berkata, Bersatu dan Pas tidak pernah bercakap perkara yang buruk mengenai dirinya berbanding UMNO dan komen orang UMNO serta PH, yang bukan hanya kritikan biasa.

“Sebaliknya ada yang berbentuk peribadi, malah ia berlarutan sehingga hari ini.

Di tahap psikologi, ia mempunyai impak kepada apa yang akan saya lakukan atau mungkin tidak lakukan,” katanya dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Ketua ARMADA Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diundang sebagai tetamu jemputan dalam sesi podcast berkenaan.

Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, beliau menghargai tawaran Muhyiddin dan akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat berhubung pelawaan menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Sementara itu, menjawab soalan Shahril mengapa Bersatu mahukan KJ dan kenapa bekas Ahli Parlimen Rembau itu perlu menerima tawaran berkenaan, Wan Ahmad Fayshal pada pandangan peribadinya berkata, Khairy antara anak muda yang terbukti berjaya dalam politik

“Sayanglah kalau kita tidak mendapatkan khidmat beliau untuk menabur bakti kepada negara hanya kerana kezaliman yang dibuat Presiden UMNO ke atas beliau.

“Kami di Bersatu tidak bersikap begitu. Kita tidak pernah menghukum bakat-bakat muda hanya kerana presiden yang takut untuk bertanding. Jadi KJ, anda dijemput untuk menyertai kami,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin menawarkan Khairy menjadi Ahli Pimpinan Tinggi Bersatu selepas mendapat persetujuan pimpinan parti yang lain.

Muhyiddin dilaporkan berkata, partinya mempunyai dua kekosongan jawatan berkenaan tanpa niat ‘mengumpan’ bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Januari lalu, Khairy dipecat daripada UMNO kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

Related posts

Leave a Comment