Singapura lapor 4,248 kes baharu

SINGAPURA 30 Okt. – Singapura melaporkan 4,248 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari semalam, peningkatan sebanyak 816 kes berbanding 3,432 kes pada hari sebelumnya manakala kematian pula 16 orang berbanding 15 sebelumnya.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), dua kes import turut dilaporkan dan ini membawa kepada jumlah keseluruhan 192,099 kes dan 380 kematian.

Pesakit yang meninggal dunia berusia antara 44 dengan 90 tahun, kesemuanya mempunyai pelbagai penyakit lain dan individu berusia 44 tahun yang meninggal dunia tidak divaksin terhadap Covid-19

Dalam kalangan kes semalam , 4,246 adalah jangkitan tempatan dengan 3,710 daripadanya adalah kes dalam masyarakat dan 536 merupakan kes di asrama  pekerja asing.

MoH menyatakan, kadar peningkatan jangkitan mingguan adalah 1.15 setakat Jumaat yang merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat sepanjang minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Sepanjang 28 hari lalu, 98.7 peratus daripada 92,449 individu yang dijangkiti Covid-19 tidak mengalami sebarang gejala atau setakat simptom ringan.

Sebanyak 0.8 peratus memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, 0.2 peratus dalam keadaan tidak stabil dan dipantau rapi di ICU manakala lagi 0.1 peratus sakit teruk dan dirawat di ICU.

Sementara itu, sebanyak 1,614 pesakit dirawat di hospital dengan 257 pesakit memerlukan bantuan oksigen di wad biasa.

Bagi pesakit di ICU, 80 kes berada dalam keadaan tidak stabil dan dipantau rapi bagi mengelakkan daripada bertambah teruk manakala 59 sakit teruk.

Kes sembuh pula 3,011 dan pesakit  dibenarkan pulang pada Jumaat, antaranya 489 warga emas berusia lebih 60 tahun.

MoH juga sedang memantau lima kluster aktif termasuk  di PCF Sparkletots di Blok 85 Whampoa, yang mempunyai 17 kes kebanyakannya melibatkan pelajar dengan enam kes merupakan kontak isi keluarga pelajar berkenaan.

Kluster terbesar di Institut Kesihatan Mental bertambah kepada 221 kes dengan kebanyakanyya adalah pesakit di samping 14 kakitangan yang turut terkena jangkitan.

Kluster lain adalah di Maple Bear Loyang, Jagaan Harian Warga Emas NTUC (Taman Jurong) dan Rumah Warga Emas Banyan Home di Pelangi Village.

Related posts

Leave a Comment