Pita tidak layak jadi PM Thailand?

BANGKOK: Pegangan saham melalui sebuah firma media dijangka menjadi penghalang kepada Pita Limjaroenrat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu.

Timbalan Perdana Menteri sementara Thailand, Wissanu Krea-ngam berkata, terdapat aduan terhadap Puta berhubung pegangan saham itu..

Butiran aduan terhadap pegangan saham Pita dalam firma media iTV Plc akan menjadi faktor utama menentukan kelayakannya bagi jawatan tertinggi negara itu.

Katanya, jika aduan itu menyasarkan kelayakannya untuk menjadi Perdana Menteri, Pita masih boleh menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen.

Bagaimanapun jika aduan menyasarkan kedua-duanya, maka mahkamah akan memutuskan mengenai kedudukan beliau.

Pita ialah pemimpin dan calon Perdana Menteri tunggal dari Parti Move Forward, yang menang luar jangkaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand, 14 Mei lalu

Menurut laporan media, Wissanu dilaporkan berkata, aduan mungkin turut menyasarkan mengenai bagaimana kelulusan diberikan terhadap Pita membabitkan keahliannya dalam Parti Move Forward.

“Dalam aspek ini, perlu diadakan pilihan raya baharu di seluruh negara,” katanya.

Wissanu juga dipetik sebagai berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya didakwa tidak mengambil sebarang tindakan dan dinasihatkan supaya tidak terjerumus ke dalam senario negatif.

Sebelum pilihan raya itu, calon dari parti yang mempunyai kaitan dengan tentera, Palang Pracharat, Ruangkrai Leekitwattana mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung perkara berkenaan.

Ruangkai mendakwa Pita tidak layak menyertai pilihan raya kerana beliau sudah melanggar Perlembagaan berikutan memegang saham dalam firma media.

Seksyen 98 dalam Perlembagaan jelas melarang individu daripada bertanding dalam pemilihan sebagai Ahli Dewan Rakyat jika mereka memegang saham di mana-mana akhbar atau perniagaan media massa.

Sementara itu, pada 9 Mei lalu, Pita melalui Twitternya, berkata beliau tidak bimbang berhubung kes itu kerana saham dalam syarikat terbabit adalah milik dana pusaka keluarganya.

“Status saya ialah sebagai pengurus dana dan saya sudah berunding serta memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan suatu ketika dahulu,” katanya.

Move Forward berjaya mengalahkan parti besar seperti Pheu Thai dengan 151 kerusi di Parlimen, dan membentuk gabungan dengan tujuh sekutu politik, termasuk Pheu Thai, Prachachat, Parti Liberal Thai, Thai Sang Thai, Fair, Plung Sungkom Mai dan Pue Thai Rumphlang bagi membentuk kerajaan.

Dengan gabungan itu, mereka mempunyai 312 kerusi daripada keseluruhan 500 wakil di Dewan Rakyat.

Related posts

Leave a Comment